Perkasa Sektor Pertanian, Fokus Tarik Golongan Muda

380
Projek pembenihan ikan marin di Setiu. Antara projek Kerajaan Negeri Terengganu dalam sektor perikanan akuakultur marin

KUALA TERENGGANU – Kerajaan PAS Terengganu terus komited memperkasa sektor pertanian di semua daerah temasuk Hulu Terengganu melalui pelbagai inisiatif menyeluruh termasuk mempromosikan penyertaan golongan muda, memperluas kawasan pengeluaran makanan, dan memulihara sumber perikanan darat serta air tawar.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, antara langkah utama yang diambil adalah pelaksanaan Program Geran Agropreneur Muda (GAM) bernilai RM30,000 dalam bentuk barangan kepada peserta berumur 18 hingga 45 tahun.

“Program ini bertujuan menarik lebih ramai golongan belia menyertai sektor pertanian, khususnya dalam suasana semasa yang menyaksikan kebanyakan petani berusia antara 55 hingga 65 tahun,” jelasnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan Dan Komoditi negeri itu, juga ADUN Jabi berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Sidang DUN Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga DUN Ke-15, di Dewan Undangan Negeri, pada hari ini.

Selain itu, kerajaan merancang mewujudkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) baharu di Kampung Pela, Mukim Penghulu Diman, yang akan memfokuskan kepada kaedah penanaman secara fertigasi.

Katanya, ia satu sistem yang lebih moden, sistematik dan sesuai untuk belia dan statistik menunjukkan penyertaan aktif peserta fertigasi adalah dalam kalangan kelompok usia 30 hingga 45 tahun.

Tambah Dr Azman, bagi menyokong pengukuhan jangka panjang industri pertanian dan perikanan, kerajaan turut menyediakan bimbingan dan kursus percuma kepada peserta yang berminat, termasuk latihan secara praktikal (hands-on) dalam dan luar negeri.

“Dalam sektor perikanan, program Pelepasan Benih Ikan ke Perairan Umum terus digiatkan bagi memelihara sumber perikanan serta meningkatkan pendapatan komuniti nelayan.

“Antara lokasi pelepasan termasuk sungai, tasik dan lombong sekitar Hulu Terengganu.

“Rekod menunjukkan peningkatan ketara dari segi jumlah pelepasan benih pada tahun 2023 sebanyak 374,215 ekor bernilai RM147,888, 2024, 851,025 ekor bernilai RM289,985 dan 2025, sebanyak 596,000 ekor bernilai RM91,020,” katanya.

Jelas Dr Azman lagi, usaha ini turut disokong oleh Program Inventori Sumber Perikanan Darat yang dijalankan bagi mengumpul data spesies ikan di sungai sebelum pelepasan benih dilakukan.

“Pada tahun 2023, sebanyak 11 spesies dikenal pasti di Sungai Terengganu (Kampung Dusun), manakala pada 2024, sebanyak 21 dan 22 spesies dikenal pasti di Sungai Tekak, Tasik Kenyir dan Kampung Getang,” tambahnya.

Sementara itu, bagi menyokong industri akuakultur, kerajaan turut menyediakan bantuan secara in-kind seperti peralatan akuakultur, sangkar, benih dan makanan ikan melalui peruntukan tahunan dan kelulusan Jawatankuasa Negeri.

“Semua inisiatif ini adalah sebahagian daripada strategi kerajaan untuk menjamin keterjaminan makanan, memelihara sumber semula jadi dan memperkukuh ekonomi luar bandar, selari dengan hala tuju Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM),” katanya lagi.