Perjuangan Rakyat Palestin Tidak Akan Terkubur

80

BESUT – Perjuangan rakyat Palestin tidak akan terkubur walaupun musuh menyangka ia berakhir dengan terbunuhnya para ulama dan pemimpin Hamas.

Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad berkata, setiap nyawa yang gugur di bumi Palestin akan melahirkan ribuan lagi pejuang baharu yang akan terus menyambung perjuangan generasi terdahulu.

“Mereka menyangka umat Islam akan sepi, tetapi hakikatnya perjuangan akan terus disambung generasi seterusnya.

“Perjuangan ini tidak akan terkubur, malah akan terus digerakkan hingga kemenangan berpihak kepada umat Islam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas Himpunan ‘Stand for Global Sumud for Flotila di Masjid Hadhari Jerteh pada 2 Oktober lalu.

Justeru itu, beliau turut menyeru kerajaan Malaysia pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar membatalkan jemputan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, ke Malaysia sebagai mesej jelas menolak sokongan terhadap kezaliman rejim Israel.

Katanya, Himpunan anjuran Dewan Pemuda PAS Kawasan Besut itu diadakan bagi menyatakan solidariti berterusan terhadap perjuangan Palestin serta flotila antarabangsa yang membawa misi kemanusiaan.

Menurutnya, suasana perkarangan Masjid Hadhari Jerteh bergema dengan laungan takbir, sorakan solidariti dan hon kenderaan yang bersahut-sahutan sepanjang jalan utama. Ratusan hadirin hadir dengan mengibarkan bendera Palestin dan membawa sepanduk tanda sokongan.

Seorang peserta, Hakimi Hamdan, 27, Ketika dihubungi berkata, suasana penuh semangat itu membuktikan rakyat Besut masih teguh berdiri bersama Palestin.

“Memang terasa semangat solidariti. Laungan takbir dan hon tanda sokongan menunjukkan kita bersama mereka,” katanya.

Program tersebut, menurut Hakimi, bermula jam 5 petang itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penderitaan rakyat Palestin selain menzahirkan sokongan kepada usaha flotilla antarabangsa.