Jawatankuasa Bertindak Kampung Banggol Donas (JBKBD) bersama Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) telah berjaya menyerahkan memorandum selamatkan Kampung Banggol Donas semasa Perhimpunan Agung Umno pada Selasa 28hb November 2014.


Saya melihat mahasiswa cukup bersemangat bersama dengan penduduk kampung yang tertindas oleh kerakusan kepimpinan Umno bersama kapitalis, meranapkan kampung-kampung melayu termasuk Kampung Banggol Donas.
Pada waktu malam pulam saya berucap dihadapan mahasiswa di Universiti Malaya atas jemputan Gamis untuk mendedahkan kepincangan kerajaan Umno yang tidak berusaha usaha menyelamatkan kampung warisan.
Saya menyangkal tuduhan yang mengatakan kami ‘biadap’ menyerah memorandum sewaktu Umno mengadakan Perhimpunan Agung.
Saya nak tanya apakah cara yang lebih baik berdepan dengan sebuah kerajaan ‘bisu dan pekak’ seperti kerajaan Umno ini, kami bantah dan minta supaya menyelamatkan kampung warisan Banggol Donas semenjak dari tahun 2008 lagi.


Tujuan kami memilih Perhimpunan Agung Umno adalah untuk menyedarkan seluruh kepimpinan Umno di peringkat tertinggi, setelah Umno di peringkat negeri Terengganu memandang sepi tuntutan kami.
Usaha kami tidak akan terhenti di PWTC sahaja, saya telah berbincang dengan Gamis memorandum yang sama akan sampai Wisma Darul Iman dalam masa terdekat.
Memorandum yang kami serahkan semalam, selari dengan surat terbuka kepada Perdana Menteri oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dr Khairuddin Aman Razali yang menuntut supaya di ubah jajaran dan selamatkan Kampung Banggol Donas, yang telah diperjuangkan oleh JBKBD semenjak tahun 2008 lagi.
Sekian, salam hormat dari saya.
Haji Salleh Embong
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kampung Banggol Donas
06 Safar, 1436 bersamaan 29 November, 2014




























