Peringatan di Penghujung Ramadhan

855

http://buletinonline.net/http://buletinonline.net/v7/wp-content/uploads/2010/09/doaeid.gifBertaqwalah kepada Allah sebelum tiba suatu hari kita tidak akan dibenarkan lagi balik ke kampung halaman. Bila tiba hari raya , anak-anak berduyun-duyun balik kampung, Alhamdulillah, tapi sedarkah kita, bila tiba di akhirat kelak, tidak ada lagi balik kampung. Orang Terengganu tak boleh balik Terengganu, orang Kelantan tak boleh balik Kelantan. Semuanya kekal di akhirat saja tanpa dapat balik-balik.

Alhamdulillah, kita hampir menyempurnakan Ramadhan. Pejuang-pejuang Islam sangat beruntung kerana di bulan Ramadhan, Al Quran yang mereka tadarus merupakan dasar mereka sendiri. Ini bermakna mereka sedang membaca dasar-dasar perjuangan mereka yang termaktub dalam Al Quran. Pejuang-pejuang sekular teramat rugi kerana mereka tidak mempunyai kitab untuk mereka tadarus. Jika mereka tadarus Al Quran sekalipun, kitab itu tidak mereka jadikan sebagai dasar. Sebab itu menjadi seorang pejuang Islam benar-benar satu tuah yang diberikan oleh Allah Taala.

Ramadhan mengajar kita untuk cakna kepada orang yang tidak berkemampuan. Allah Taala menciptakan di dunia ini orang-orang kurang berkemampuan untuk menjadi ujian kepada orang-orang yang mampu. Di akhirat nanti akan ditanya, setakat mana orang-orang yang mampu ini menghulurkan bantuan kepada orang-orang yang kurang mampu. Sebab itu saudara-saudara kita yang kurang mampu sedikit untung sebab terlepas soalan ini di akhirat nanti. Manakala yang berkemampuan perlu pastikan duit kita pada hari ini kita peruntukan untuk beli pahala selain beli pakaian, laut pauk, beras dan keperluan hidup. Bila kita membeli belah di kedai, kita tukar duit dengan barang, sebab itu kita tidak sayang belanjakan duit kerana nampak barang di depan mata. Namun sedarkah kita bila kita laburkan duit untuk kebaikan, seperti kita beli pahala dengan duit kita. Walaupun pahala ini benda tak Nampak, tapi itulah saham kita di akhirat.

Tujuan hidup kita adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah. Kita tidak boleh hidup sesuka hati ikut cara kita sendiri. Ibarat kita ingin membina rumah, kita berikan pelan rumah kepada kontraktor. Kontraktor tidak boleh pandai-pandai buat kerja ikut suka hati dia. Dia kena ikut pelan yang disediakan. Demikianlah kita manusia, kita tidak boleh hidup pandai-pandai ikut apa yang kita mahu. Kita kena patuh kepada pelan. Pelan hidup ialah Islam yang dibawa nabi Muhammad SAW. Ikut pelan kita selamat. Tak ikut pelan jawabnya tak selamat.

Tujuan manusia hidup perlu dirujuk kepada tukang buat manusia iaitu Allah. Itulah tukang yang sebenar. Ibu bapa bukan tukang, ibu bapa hanyalah pekakas untuk buat manusia. Sebagaimana periuk belanga, rempah ratus bukanlah tukang masak. Ini hanyalah peralatan untuk memasak. Benda-benda ni semua tak berguna tanpa tukang masak. Tukang manusia ialah Allah Taala. Bila Allah Taala kata tujuan hidup manusia adalah untuk mengabdikan diri kepadanya, kita perlu patuh kerana dialah tukang buat manusia.

Islam jalan hidup yang selamat. Peraturan yang diperkenalkan Islam sama sekali tidak akan menyusahkan manusia. Lihatlah perkara yang diharamkan Islam semuanya merupakan perkara-perkara yang memudharatkan. Mencuri, merompak, berzina, menipu, rasuah, menyeleweng, khianat yang kesemuanya diharamkan oleh Islam turut ditolak oleh semua manusia tanpa mengira bangsa dan agama. Begitu juga perkara-perkara yang diwajibkan atau digalakkan oleh Islam seperti bercakap benar, menepati janji, tidak menipu, menghormati orang tua, menghubungkan persaudaraan semuanya merupakan nilai-nilai baik yang diterima oleh semua manusia. Oleh yang demikian, tidak ada sebab untuk kita tolak Islam.

Kita manusia ditugaskan menjadi Khalifah di muka bumi. Kita bukan haiwan atau tumbuhan yang hidup tanpa sebarang beban tugas. Bila disebut khalifah ertinya kita menganti kerana khalifah ertinya pengganti. Kita menggantikan Allah Taala di muka bumi dengan maksud kita menjadi pekerja dan jurucakap Allah Taala. Nabi Muhammad SAW sebagai jurucakap rasmi membawa risalah daripada Allah dan mewariskan kepada kita sebagai jurucakap-jurucakap seterusnya untuk menegakkan syariat Islam di bumi ini. Mana mungkin kita hidup atas muka bumi, jalan atas bumi Allah, makan dan minum rezeki Allah, nyawa dengan oksigen Allah, tiba-tiba kita tak nak buat kerja untuk Allah. Ibarat kita pergi kedai, minum air, makan nasi, tiba-tiba tak nak bayar, mesti kena marah. Itu baru air dan nasi. Apa kata kita sebagai hamba tuhan, duduk di muka dunia, nyawa dengan udara tuhan, melihat dengan mata yang Allah Taala bagi, mendengar dengan telinga dan bercakap dengan mulut yang diberikan Allah, tiba-tiba kita mahu semua itu dengan percuma tanpa buat kerja untuk Allah Taala.

Perjuangan Islam yang kita galas pada hari ini bukanlah suatu pilihan, tetapi merupakan satu kewajipan yang terpikul di atas bahu kita semua. Ini kerana setiap perkara yang diciptakan Allah Taala mempunyai tugasnya masing-masing. Makhluk seperti binatang mempunyai tugasnya. Kayu dan batu yang tidak bernyawa juga mempunyai tugasnya. Kesemuanya diciptakan oleh Allah taala untuk kegunaan manusia. Maka untuk apakah pula manusia sendiri diciptakan. Islam hadir dengan satu jawapan bahawa tugas manusia ialah untuk mengabdikan diri kepada tuhan yang menciptakan alam ini iaitu Allah Taala.

Di atas bahu kitalah terbeban tugas untuk menegakkan Islam. Mengharapkan Islam tegak melalui keris UMNO saya kira amat mustahil. Keris itu tidak lain hanyalah bertujuan merobek keharmonian demi mengenyangkan perut orang-orang tertentu. Tinggalkanlah bahtera kebangsaan yang hampir karam ini. Langit dan bumi bukan diciptakan oleh bangsa Melayu, bukan juga oleh bangsa Arab atau mana-mana bangsa. Ia diciptakan oleh tuhan segala bangsa iaitu Allah Taala. Di antara kecelakaan yang menimpa ummat Islam pada hari ini ialah mereka berpolitik dengan tidak mengira apa yang akan mereka hadapi di dalam kubur kelak. Inilah dia politik duniawi. Saya mengulangi balik kata-kata Saidina Umar Al Khattab, “Balik kepada kebenaran lebih baik daripada kekal dalam kebatilan.” Malangnya politik sekular tidak mengenal nilai benar dan batil.

Baca dari sumber >>