Bakar Al-Quran; Nyawa Askar Amerika Galang Ganti

1095

http://buletinonline.net/images/stories/berita32/afgstx.jpgSeorang komander utama tentera Amerika Syarikat di Afghanistan telah memberi amaran bahawa nyawa askar Amerika dalam bahaya jika sebuah gereja di Florida meneruskan rancangannya untuk membakar naskhah-naskhah Al-Quran pada ulang tahun kesembilan peristiwa serangan 11 September 2001 (9/11) di New York dan Washington.

Jeneral David Petraeus berkata rancangan membakar kitab suci penganut Islam akan menjadi satu propaganda bagi kumpulan Taleban di Afghanistan dan mencetuskan sentimen anti-Amerika di seluruh Dunia Islam.

Pusat Dove World Outreach di Gainesville, Florida, berkata ia akan membakar salinan Al-Quran pada ulang tahun kesembilan peristiwa serangan 9/11, minggu ini, untuk memprotes apa yang dikatakannya sebagai ‘kejahatan Islam’.

Dalam satu wawancara dengan akhbar Wall Street Journal semalam, Jeneral Petraeus menyifatkan acara itu ‘boleh membahayakan askar dan ia boleh membahayakan keseluruhan usaha mereka’.

‘Tindakan seperti itu yang benar-benar boleh digunakan pihak Taleban, dan boleh mengakibatkan masalah besar. Bukan sahaja di sini, tetapi di mana mana sahaja di seluruh dunia, di mana saja kami mempunyai hubungan dengan masyarakat Islam,’ jelasnya.

Rancangan memprotes oleh sekumpulan 50 anggota gereja di Florida itu, yang memiliki muka laman Facebook yang memuatkan moto ‘Islam dihasilkan Syaitan’, telah mencetuskan kemarahan di Indonesia, negara dengan penduduk majoriti Islam paling ramai di dunia.

Bulan lalu, kira-kira 100 warga Indonesia membantah di luar kedutaan Amerika di Jakarta dan mengancam untuk ‘berjihad’ jika kumpulan Kristian di Amerika itu meneruskan acara itu. — AFP.