Perbuatan memijak Al-Quran yang tular baru-baru ini merupakan satu tindakan melampau dan amat menghina, yang sama sekali tidak boleh diterima dalam negara kita. Tindakan sebegini bukan sahaja melukakan hati umat Islam, malah menggugat keharmonian masyarakat majmuk yang telah sekian lama kita bina bersama.
Kita tidak boleh membiarkan budaya provokasi dan kebencian terhadap agama terus berulang. Agama seharusnya menjadi asas perpaduan, bukan punca perpecahan. Mengasihi Tuhan bermakna mencintai sesama insan. Menghormati kepercayaan serta simbol suci agama lain adalah tanda kematangan dan ketamadunan sesebuah bangsa.
Lebih membimbangkan apabila terdapat dalam kalangan generasi muda yang dilihat kurang sensitiviti dan rasa hormat terhadap agama. Perkara ini menuntut perhatian serius semua pihak. Pendidikan nilai mesti diperkukuh, bermula dari rumah. Ibu bapa perlu memainkan peranan yang lebih aktif dalam membentuk akhlak anak-anak, menanamkan sikap hormat, empati dan kefahaman bahawa setiap agama wajar dihormati tanpa mengira latar belakang kepercayaan masing-masing.
Dalam masa yang sama, kita menyeru agar semua pihak bertenang dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang. Menangani isu ini bukan sekadar melalui tindakan undang-undang, tetapi juga melalui pembinaan nilai dan kesedaran yang berterusan demi memastikan keamanan dan perpaduan negara terus terpelihara. Pendidikan bermula dari rumah. Jika kita memupuk budaya hormat-menghormati sejak usia muda, kita akan melindungi keamanan, kestabilan, dan perpaduan negara kita untuk generasi akan datang.
*Dr Balachandran Gopal Krishnan*
Pegawai Khas (Hal Ehwal Bukan Islam),
Menteri Besar Terengganu.
26 Februari 2026





























