KUALA TERENGGANU – Konvoi Motosikal SG4 memperkasa peranan anak muda dan menyemarakkan perpaduan ummah apabila dijangka menghimpunkan penyertaan besar sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 hujung minggu ini.
Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Hamdi Harun berkata, program tersebut menyasarkan sekurang-kurangnya 200 peserta konvoi bagi setiap kawasan, manakala kehadiran ke program utama dianggarkan mencecah 300 orang setiap kawasan.
Katanya, penganjuran konvoi itu bukan sekadar himpunan berskala besar, sebaliknya menjadi platform penting untuk mendekati dan mengaktifkan peranan generasi muda dalam agenda perpaduan ummah.
“Penglibatan anak muda ini mencerminkan kekuatan dan kesatuan umat Islam, selain menunjukkan bahawa golongan belia merupakan tunjang utama dalam menggerakkan masa depan ummah,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi, hari ini.
Tambah beliau, konvoi tersebut juga berfungsi sebagai medium promosi yang berkesan bagi menarik lebih ramai penyertaan masyarakat serta menyemarakkan suasana program utama.
Sehubungan itu, beliau berharap komitmen tinggi daripada semua pihak khususnya golongan muda dapat memastikan kelancaran program sekali gus mencapai matlamat memperkukuh perpaduan ummah dan memperluas jaringan ukhuwah.




























