KUALA NERUS – Penyatuan ummah bukan sekadar slogan retorik, sebaliknya merupakan satu keperluan mendesak dalam menjamin kestabilan dan kesejahteraan masyarakat.
Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Dato’ Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, tema “Satu Ummah” yang diketengahkan amat bertepatan dengan keadaan semasa yang menyaksikan perbezaan mudah mencetuskan perpecahan dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, umat Islam perlu kembali kepada asas kesatuan dengan mengurus perbezaan mazhab dan pandangan secara berilmu, beradab serta saling menghormati.
“Di situlah terletaknya kekuatan sebenar sesebuah ummah, apabila perbezaan tidak menjadi punca perpecahan, sebaliknya diurus dengan hikmah,” katanya.
Beliau yang juga Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, berkata demikian ketika merasmikan program Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026, di Perkarangan Stadium Gong Badak, Kuala Nerus, hari ini.


Beliau turut menegaskan bahawa jati diri Melayu-Islam yang terbina daripada warisan budaya dan nilai Islam perlu terus diperkukuh sebagai asas dalam menghadapi cabaran dunia moden.
Dalam masa sama, katanya, kekuatan ekonomi ummah perlu diperkasa secara tersusun bagi mengurangkan kebergantungan kepada pihak luar serta memastikan kemakmuran dapat dinikmati secara menyeluruh.
“Tanpa kekuatan ekonomi, kita mudah terdedah kepada tekanan luar,” jelasnya.
Selain itu, beliau menekankan kepentingan melahirkan kepimpinan yang berintegriti, jelas prinsip dan amanah dalam menjalankan tanggungjawab.


Mengulas konteks Malaysia, beliau berkata kedudukan Melayu dan Bumiputera sebagai teras negara perlu diperkukuh, namun dalam masa sama keharmonian kaum lain mesti terus dipelihara demi masa depan bersama.
Kata Hamzah, keseimbangan tersebut penting bagi memastikan kestabilan negara terus terjamin.
Tambahnya, potensi kerjasama di rantau Alam Melayu juga wajar digerakkan secara lebih tersusun bagi memberi manfaat kepada ummah secara keseluruhan.
“Kita bukan sekadar mahu berkumpul, tetapi bangkit sebagai satu ummah yang berwibawa dengan asas yang kukuh,” katanya.





























