Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Zulkefly Ahmad yang enggan isu itu dipolitikkan menjelaskan cadangan asal untuk peraturan itu hanya merujuk kepada orang Islam dan menafikan peraturan itu telah dilaksanakan di kawasan parlimennya.
“Dakwaan tentang panggung wayang di Kuala Selangor ini tidak benar. Saya sudah bercakap dengan ahli majlis dan mesyuarat buat keputusan bahawa pemilik premis meletakkan notis di pintu masuk yang melarang pasangan belum berkahwin (bukan muhrim) dilarang duduk berdua-duaan.
“Notis hanya merujuk kepada orang Islam. Namun mesyuarat penuh dengan MDKS pada hujung bulan ini akan bincang mengenai agenda ini. Kita akan bincang bentuk, cara dan notis itu dikeluarkan,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.
Ketika ditanya pemberita sama ada notis ini mengikut pendekatan PAS Kelantan dalam menangani isu sosial, Zulkefly berkata, “kita tidak perlu ikut mana-mana pihak.”
Turut hadir dalam sidang media itu termasuklah Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman, Timbalannya Khalid Samad serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS yang lain.
Peraturan ditangguh
Dr Rani menyifatkan perkara ini sengaja ditimbulkan oleh pihak-pihak tertentu untuk melaga-lagakan PAS dengan DAP.
Beliau menegaskan peraturan ini belum diketengahkan dalam mesyuarat penuh ahli majlis dan mengulangi kenyataan exco negeri, Ronnie Liu semalam bahawa peraturan itu ditangguh untuk perbincangan lanjut.
“Perkara ini tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat penuh majlis. Ia bukan dibatalkan tetapi ditangguhkan untuk perbincangan.
“Ada yang kata ini sebagai permulaan kepada undang-undang hudud. Sepatutnya ia bukan dilarang tapi menjadi perhatian dan semua bangsa perlu menghormatinya,” kata Dr Rani.
Semalam kerajaan negeri mengarahkan penangguhan terhadap keputusan peraturan berhubung isu pasangan Islam yang belum berkahwin diasingkan kerusi atau tempat duduk di dalam panggung wayang.
Ronnie yang juga Adun Pandamaran berkata perbincangan lanjut mengenai hal itu akan dibawa kepada mesyuarat lembaga yang berkaitan.
Cadangan untuk melaksana dan menguatkuasa peraturan ini oleh MDKS juga mendapat bantahan daripada MCA kerana parti itu menyifatkannya sebagai satu langkah untuk memperalatkan agama dalam politik.
Semalam Presidennya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek melahirkan rasa terperanjat kerana nilai-nilai Islam mahu dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa tempatan (MDSK), walaupun peraturan itu melibatkan orang-orang Islam sahaja.-FMT







