Proses pembubaran, pengantian dan penyusunan semula mana-mana organisasi kerajaan negeri yang ditubuhkan berpaksikan lantikan politik seperti ATRA, TTB, UKOM dan JKKK adalah amalan biasa bila sesebuah kerajaan bertukar teraju. Tak ada apa yang perlu dipertikaikan.
Tentunya kerajaan baru akan membuat penyusunan semula supaya agensi-agensi di bawah kerajaan baru ini mampu menjadi penyampai misi dan visi pemerintahan baru kepada rakyat.
Walaupun begitu pertimbangan kemanusian diambil kira. Kerana itulah lantikan politik kontrak, sementara dan ad-hoc agensi-agensi seperti ATRA hanya akan ditamatkan pada 30 Jun mengambil kira persiapan Ramadhan dan raya mereka walau sebenarnya tidak ada peraturan yang menghalang untuk mereka ditamatkan lebih awal.
Mereka pun sudah tak berfungsi lagi sebenarnya. Inilah yang diistilahkan pengantian dan penamatan dilakukan dengan tertib termasuk diteliti syarat-syarat kontrak mereka. Kita bukan bertindak secara sembrono.
Kakitangan tetap kerajaan negeri tak ada yang ditamatkan. Hanya kakitangan sementara, ad-hoc dan kontrak sahaja yang terlibat.
JKKK sendiri sebenarnya sudah tak berfungsi dari tarikh pengumuman keputusan PRU 14 lagi. Mereka sendiri sedia maklum bahawa khidmat mereka akan ditamatkan.
Tak ada apa-apa kesan negatif dalam masyarakat kampung yang berlaku apabila nanti JKKK akan dibuat lantikan baru. Ini adalah proses biasa saja.
YB Dr Azman Ibrahim
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa
Negeri Terengganu



























