Penyertaan Abdullah Ali Tingkatkan Sokongan Pengundi Muda

1144

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata perubahan memerlukan golongan muda yang dianggarkan menguasai 30 peratus kuasa politiknya.

Bahkan, katanya perubahan pengundi muda sangat penting bukan sahaja di Terengganu tapi seluruh negara sebagai kuasa penentu pilihan raya.

“Apa yang menarik perhatian kita (PAS) ini ialah perubahan memerlukan golongan muda. Kita (PAS) mengharapkan, sebagaimana lawatan saya ke Dun-dun (Dewan Undangan Negeri) di seluruh negeri tidak kurang dari 30 peratus adalah pengundi muda.

“Ini (golongan muda) boleh jadi undi penentu (kemenangan) dalam pilihan raya. Maknanya, perubahan pengundi muda sangat penting dan bukan sahaja di negeri Terengganu bahkan di seluruh negara,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media sempena kunjungan hormat bekas pemain bola sepak kebangsaan tahun 70-an yang baru menyertai PAS, Abdullah Ali di kediamannya, Rusila, Marang, 23 Mac lalu.

Menurutnya, Ustaz Abdul Hadi penyertaan golongan muda kembali menyokong perjuangan Islam mengembalikan semula zaman kegemilangan agama tersebut.

Katanya, golongan muda juga mempunyai kepelbagaian minat serta kebolehan seperti ahli sukan, penghibur dan sebagainya.

“Ini (penyertaan orang muda) mengembalikan di zaman kegemilangan Islam. 90 peratus orang muda dan orang muda ini bermacam-macam kebolehan. Orang muda ini banyak ahli sukan, banyak penghibur dan macam-macam.

“Dengan sebab itu, kalangan pengundi muda untuk buat perubahan sangat penting. Dan penyertaan Abdullah Ali ini adalah merupakan suatu kekuatan baru kepada PAS untuk menghadapi pilihan raya akan datang, Insya’Allah,” ujarnya.

Menurut Dato’ Seri Abdul Hadi, harapan kepada golongan tua bagi membawa perubahan mungkin tidak besar kerana masalah ‘buta’ huruf, kekangan media dan sebagainya.

Hadir sama pada kunjungan tersebut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu, Dr Bala Chandran.