Penyelewengan Rumah PPRT Siri 1 – Rumah PPRT Jadi Pondok Jaga Kambing

1336

http://www.buletinonline.net/http://buletinonline.net/v7/wp-content/uploads/2009/10/PPRT1.JPGSiasatan Buletin mendapati, kedua-dua rumah khusus bagi golongan ‘miskin tegar’ itu dibangunkan berdekatan antara satu sama lain, atas sebidang tanah di Kampung Wakaf Mesira.

Tinjauan dibuat ke lokasi mendapati persekitaran rumah tersebut tidak terurus membuktikan dakwaan beberapa pihak terbabit, ia telah ditinggalkan kosong sejak lebih lima tahun lalu.

Satu sumber dalaman Umno memberitahu, kedua-dua rumah PPRT berkenaan adalah kepunyaan dua anak-beranak, yang telah pun mempunyai rumah kediaman masing-masing.

Bahkan, salah seorang pemiliknya dikatakan pernah bekerja dengan adik ipar kepada seorang Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Kampung Pagar Ubi, bersebelahan dengan Kampung Wakaf Mesira.

Kos bagi pembinaan kedua-dua buah rumah tersebut hampir mencecah RM40,000, sepatutnya diberikan kepada dua orang lain yang benar-benar miskin dan memerlukan pembelaan untuk meneruskan kehidupan.

Dengan pemberian dua buah rumah tersebut kepada orang yang ‘bukan berhak’ menyebabkan dua orang yang benar-benar miskin, mungkin terlepas peluang untuk mendapatkan tempat berlindung.

http://www.buletinonline.net/http://buletinonline.net/v7/wp-content/uploads/2009/10/PPRT2.JPGTindakan ’salahlaku’ pihak-pihak tertentu itu juga mengakibatkan peningkatan dalam perbelanjaan negeri dan negara.

Namun, oleh kerana menjaga ‘hubungan tertentu’ ia diselewengkan dan dilakukan sedemikian, tanpa sedikit pun rasa bersalah dan berdosa.

Sumber tersebut mendakwa, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Mohammad Ramli Nuh telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut tetapi mempertahankan tindakan JKKK memberi kelulusan tersebut.

Katanya, Adun Tepoh itu mempertahankan kelulusan JKKK memberi rumah PPRT tersebut kepada orang ’kuat’ Umno kerana kedua-dua layak dan belum mempunyai rumah.

Tinjauan Buletin juga mendapati, terdapat dua ’kandang kambing’ bersebelahan rumah PPRT itu, seolah-olahnya, dua buah rumah sepatutnya dibina untuk membantu ’dua keluarga miskin’ kini hanya menjadi pondok untuk menjaga kambing, kepada golongan yang melakukan salahlaku dan penyelewengan tersebut.