Penjelasan Saudi Tentang Pembunuhan Khashoggi ‘Kebudak-budakan’ – Erdogan

1217

Pemerintah Turki telah meningkatkan tekanan ke atas Arab Saudi berikutan pembunuhan wartawan, Jamal Khashoggi, dan menganggap penjelasan negara Arab itu ‘kebudak-budakan’.

Presidennya Recep Tayyip Erdogan menggesa Riyadh mendedahkan, siapa yang memberi perintah melakukan pembunuhan tersebut di konsulat negara itu, di Istanbul.

“Sekiranya kamu bertekad untuk mengangkat kain misteri ini, ia adalah menjadi titik tolak utama kerjasama kami,” katanya ketika berucap di ibu kota Ankara, semalam.

Beliau berkata demikian ketika memberi taklimat kepada anggota Parti Keadilan dan Pembangunannya (Parti AK).

Katanya, pihak berkuasa Turki telah mengumpulkan lebih banyak bukti, yang akan diumumkan kepada khalayak bila tiba waktunya.

Jelasnya, beliau mengesyaki pembunuh Khashoggi adalah antara 18 orang yang telah ditangkap oleh Arab Saudi berkaitan dengan kes itu dan menyeru pihak berkuasa untuk mengenal pasti ‘subahat tempatan’ yang didakwa melupuskan mayat wartawan itu.

“18 orang tahu siapa yang membunuh Khashoggi, tidak ada penjelasan yang lain, kerana pelaku itu ada di antara mereka,

“jika pelaku tidak ada di antara mereka, maka siapa yang menjadi ‘kolaborator’ setempat?”sola Erdogan.

“Kamu perlu mengumumkannya,” tegasnya.

Khashoggi, 59, kolumnis yang menulis untuk ‘Washington Post’ telah mengkritik Putera Mahkota Saudi Mohammed bin Salman (MBS) sebelum hilang setelah memasuki konsulat Saudi di Istanbul pada 2 Oktober.

Pada 20 Oktober, selepas lebih dua minggu penafian, Saudi akhirnya mengesahkan kematian Khashoggi pada 2 Oktober dan mendakwa dia telah mati dalam satu pergaduhan.

Dalam ucapann pertamanya mengenai kes terbabit awal minggu ini, Erdogan menyifatkan Khashoggi sebagai mangsa pembunuhan ganas.

Beliau meminta siasatan antarabangsa bebas dilakukan dalam kejadian yang masih menjadi misteri itu.