Peniaga Buah Kecil-Kecilan ‘Infaq’ Tanah RM100,000 Kepada PASTI

10514

Oleh : Khairul Nizam Abdullah

KUALA NERUS – Walaupun beliau hanya seorang peniaga buah-buahan secara kecil-kecilan namun jiwanya besar bersama Islam dan layak bergelar seorang ‘dermawan’.

Itulah perkataan yang ‘cocok’ kepada Ghazali@Harun bin Muda, 72, yang lebih mesra di panggil ‘Poksu Li’ dikalangan penduduk setempat.

Beliau layak dipanggil dengan gelaran itu kerana, secara diam-diam beliau telah ‘menginfaqkan’ sebidang tanah seluas kira-kira 550 meter persegi, bernilai kurang RM100,000, kepada PASTI untuk didirikan bangunan baru .

Meskipun beliau baharu saja pulih dari serangan angin ahmar yang dihidapinya selama lima tahun, namun jiwa perjuagannya terus membara.

zamri endut“walaupun saya tidak bersekolah tinggi namun demi untuk melihat anak-anak kita belajar dalam keadaan selesa, saya mewakafkan tanah ini kepada PASTI untuk dibina bangunan baru ”.

“saya sudah tua……..entah esok atau lusa Allah akan menjemput saya (pulang)……..saya berharap dengan sedikit sumbangan ini dapat menjadi bekal di akhirat nanti,”ujar beliau ketika ditemui, yang tinggal bersama anak bongsu serta tiga orang cucunya di Kampung Bukit Tumbuh.

Sehubungan itu, Ketua Pembangunan PASTI Al-Ulum Qaryah Hulu Takir, Zamri Endut, mengucapkan syukur kepada Allah dan mendoakan agar sumbangan Pok Su Li menjadi ‘jariah’ yang berpanjangan.

“Poksu Li seorang yang berjiwa besar dan dermawan, walaupun dia tidaklah sekaya mana namun sanggup menginfaqkan sebidang tanah untuk PASTI ,

“in shaAllah dan Alhamdulillah…….dengan pemberian Pok Su itu, bangunan PASTI lama itu nanti akan di jadikan pusat tuisyen percuma untuk pelajar-pelajar khususnya di sekitar Seberang Takir,”kata beliau.