Pengurusan Kesihatan Melibatkan Kepentingan Umum Dalam Islam Melangkau Ibadah Khusus

166

Masih ramai yang berbicara tentang kesedihan tidak dapat hadir ke masjid dan menghadiri Jumaat dalam suasana Covid-19. Ia tentunya dilihat menggambarkan pegangan Islam yang baik.

2. Namun, Islam perlu dilihat pada wajah yang lebih luas bukan sekadar ibadat yang khusus seperti solat dan masjid. Islam perlu dilihat pada wajah keterangkuman hidup bermasyarakat dan bernegara. Islam memberikan kaedah dalam pengurusan wabak yang menjangkau kepentingan umum berbanding kepentingan ibadah yang khusus.

3. Cuba lihat kaedah Islam seperti Hadis Nabi saw
لا يُورِدُ مُمْرِضٌ علَى مُصِحٍّ.
“Janganlah pemilik unta yang sakit mendatangi unta pemilik unta yang sihat”
(Hadis Sahih Muslim)

Hadis ini menggambarkan pengurusan kesihatan dalam Islam. Unta yang sakit boleh menimbulkan mudarat perebakan pada unta yang sihat. Maka unta yang sakit tidak wajar dibawa untuk bersama unta yang sihat khususnya di kawasan tadahan air minuman unta.

4. Menurut Imam Nawawi dalam Syarah Muslim, menerusi Hadis ini baginda membimbing manusia untuk menjauhi apa sahaja yang kebiasaannya boleh mendatangkan bahaya dengan kehendak dan ketentuan Allah.

5. Jika itu kaedah melibatkan unta bagaimana pula melibatkan manusia? Menghalang jangkitan penyakit pada manusia adalah kaedah pengurusan kesihatan yang dikemukakan oleh Islam.

Apabila terdapat seorang lelaki terkena kusta berada bersama rombongan orang Thaqip yang datang untuk berbaiah menyatakan taat setia kepada Nabi (saw), baginda hanya menghantar utusan memberitahu bahawa baiah taat setia mereka telah diterima dan lelaki itu tidak dibenarkan memasuki bumi Madinah.
(rujuk Hadis Sahih Muslim, Kitab al-Salam).

6. Itu dalam urusan penting melibatkan pengurusan baiah taat setia kepimpinan politik negara. Kepentingan kesihatan awam tetap diutamakan. Baiah taat setia tidak semestinya hanya dengan bersemuka dengan Nabi (saw) sebagai ketua negara. Sekiranya bersemuka itu mendatangkan mudarat dan bahaya kesihatan, ia perlu dielakkan dan diambil kaedah yang lain.

7. Apa yang ditunjukkan oleh Nabi (saw) itu ialah konsep bahawa orang yang sakit tidak wajar mendekati orang yang sihat sekiranya dibimbangi kesakitan tersebut boleh menimbulkan perebakan pada orang lain.

8. Begitu juga dengan kaedah menghalang orang yang makan bawang yang bau busuknya boleh menyakitkan dan mengganggu ahli masjid yang lain. Sabda Nabi saw

مَن أكَلَ مِن هذِه الشَّجَرَةِ، فلا يَقْرَبَنَّ مَسْجِدَنا، ولا يُؤْذِيَنَّا برِيحِ الثُّومِ.
“Sesiapa yang makan daripada pokok ini (bawang) maka janganlah sama sekali mendekati masjid kami dan jangan sama sekali menganggu kami dengan bau bawang putih”
(Hadis Sahih Muslim)

9. Jika bau bawang yang busuk menjadi sebab untuk seseorang dihalang ke masjid apatah lagi kebimbangan wabak Covid-19 yang boleh menyakitkan dan membunuh manusia

10. Ibadah perlu disertai dengan fiqh kefahaman Islam. Ibadah tanpa fiqh merisikokan Ibadah ditolak dan tidak beroleh pahala bahkan mungkin juga membawa dosa. Larangan ke masjid akibat Covid-19 melainkan kepada segelintir untuk terus mengekalkan syiar Islam adalah larangan yang bertepatan dengan kehendak beragama dalam Islam demi maslahat kesihatan rakyat.

Lihatlah Islam pada wajah yang luas bukan hanya ibadah yang khusus.

Sekian

Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
9hb Julai 2021