Pengurusan Banjir; Belajarlah Dari Siasah Nabi Yusuf

1068

Oleh; Dr. Azman Ibrahim

Tujuh tahun subur dipersiapkan untuk menghadapi tujuh tahun kemarau mendatang. Hasilnya, bukan setakat rakyat Mesir yang mampu hidup dengan bekalan makanan yang mencukupi saat menghadapi bencana alam bernama kemarau, malah rakyat dari negeri-negeri berdekatan turut sama menumpang rezeki. Itulah kehebatan siasah Nabi Yusuf dalam percaturan ekonomi yang dicatatkan sejarahnya dalam al Quran.

Realiti kita di Terengganu, sebelas bulan tanpa banjir, sekadar sebulan musim tengkujuh, rakyat boleh sampai kebuluran di pusat-pusat pemindahan! Siasah Nabi Yusuf, simpan bekalan makanan ketika senang sebagai persedian zaman susah, Siasah MB kita, tahan lori roti yang dalam perjalanan untuk menghantar bekalan ke kedai-kedai, lalu roti diagihkan kepada rakyat yang kelaparan. Bagi roti kepada rakyat dengan cara ‘rompak’ lori tengah jalan, secara kemanusiannya boleh diucapkan terima kasih tetapi ini cara Robin Hood! Walaupun kita tahu MB akan bayar lepas tu. Tapi inikah caranya ketua sebuah kerajaan negeri dengan bajet tahunan yang mencecah lebih RM2b?

Siasah Nabi Yusuf, kesempatan ketika tujuh tahun subur diambil untuk mempersiapkan bekalan bagi tujuh tahun bencana yang bakal mendatang, siasah Kerajaan Terengganu, selepas air naik, jalan terputus hubungan, rakyat terkapai-kapai, anak-anak menangis kelaparan di pusat-pusat pemindahan, ramai yang terperangkap di kawasan-kawasan pendalaman, barulah nak buat mesyuarat persedian menghadapi banjir! Kalau tunggu terputus hubungan baru kita nak buat mesyuarat, memanglah hasilnya sebagaimana yang diperolehi.

rumah yb chukaiSaya tak menyalahkan anggota-anggota agensi-agensi kerajaan samada Bomba, JPAM, Jabatan Kesihatan, Polis, Tentera dan sebagainya kerana mereka adalah pegawai kerajaan yang bekerja berdasarkan arahan. Kita juga mendapat khabar bahawa mereka turut keputusan bekalan makanan dan kelaparan. Persoalannya adalah di mana kecekapan penyusunan dan pengarahan pihak yang bertanggungjawab dalam menentukan polisi dan dasar.

Ini pun sudah dikira nasib baik dengan sistem pemilihan baru Umno, menyebabkan pemburu kedudukan politik hadir ke Perhimpunan Agung Umno tanpa pertarungan lagi kerana semuanya telah selesai. Kalaulah pemilihan ini berlaku sebagaimana sesi lepas, saya cukup yakin, peratusan untuk rakyat marhaen terabai akan menjadi lebih tinggi.

Saya sempat bertanya khabar beberapa orang Pengerusi JKKK yang dikenali di sekitar Besut dan Setiu tentang persedian mereka untuk menghadapi banjir. Jawab mereka, “Tak ada mesyuarat dan tak ada persedian!”
“Sebab apa?” tanya saya agak pelik.
“Tak dok bajet!” jawab mereka.

Nasib baik tahun ini Allah melindungi Besut dan Setiu dari bencana ini. Kalau tidak, confirm! akan ada penghuni pusat pemindahan banjir yang kelaparan, rakyat yang terperangkap, bayi-bayi yang terpaksa hisap air mineral dalam botol susu dan pelbagai lagi insiden. Jenis tunggu bajet ada baru boleh buat kerja memang doh budaya mereka, mustahil boleh diubah. Lebih teruk kadang-kadang peruntukan banjir pun dimasukkan ke dalam kilas. Yang tak kena banjir pun turut nak rasa sekali.

Bagi PAS, kita tak pernah ada bajet untuk musim banjir. Walaupun begitu agenda menghadapi banjir adalah antara fokus kita menjelang musim tengkujuh. Sumbangan dari dermawan kita kumpulkan. Sekadarnya barang-barang keperluan asas kita sediakan mengikut keupayaan kita agar sedikit sama secubit, banyak sama disuap.

Saya menitiskan air mata apabila melihat rumah Saudara Zul Mat Yakim, Pengarah Operasi Bantuan Banjir Pas Kemaman yang tenggelam sehingga ke paras bumbung [Gambar paling atas]. Melihat beliau begitu bersemangat bekerja membantu rakyat, mungkin ramai yang menganggap bahawa rumah beliau selamat. Tak ramai yang mengetahui bahawa rumah beliau sendiri sebenarnya ‘total lost’.

Begitu juga apabila melihat rumah YB Hanafiah Mat yang turut ditenggelami air [Gambar Atas kanan], semua itu tidak dijadikan alasan untuk mereka tenggelam dengan masalah sendiri lalu melupakan masalah rakyat. Banglo mewah milik Ahmad Shabery Chik dan rumah Ahmad Said tentunya terselamat dari banjir.