Penggawa Ditembak Mati Lepas Solat Jumaat

1533

Yala, THAILAND – Dua penyerang bersenjata menembak mati seorang penggawa ketika pulang dari menunaikan solat Jumaat di Kampung Kasang, Mukim Tanah Putih di daerah Benan Setar, Yala hari ini.

Ketua Bahagian Siasatan Balai Polis Benan Setar, Kapten Nattavut Pechsatitrong berkata, kejadian berlaku pada 1.40 petang waktu tempatan.

Beliau berkata, mangsa iaitu Abdul Latif Yanya, 49, yang merupakan Penggawa Mukim Tanah Putih ditembak mati ketika tiba di hadapan rumah penduduk kampung ketika mahu menghadiri majlis Maulidur Rasul.

“Mangsa ditembak di bahagian kepala oleh penyerang yang bersenjatakan senapang AK47. Pihak berkuasa juga menemui lima kelongsong peluru di lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata, jarak antara masjid dengan lokasi kejadian pembunuhan itu adalah kira-kira 80 meter.

Menurut nya, penyerang turut berbalas tembak dengan pasukan keselamatan ketika melarikan diri dari lokasi kejadian menggunakan motosikal sejurus selepas melakukan pembunuhan itu.

Menurut laporan, seorang daripada penyerang tersebut telah ditembak mati oleh pasukan keselamatan dalam insiden berbalas tembak itu.

Manakala usaha memburu seorang lagi penyerang sedang giat dilakukan dan setakat ini pihak berkuasa belum mengeluarkan sebarang kenyataan tentang insiden tembak menembak itu – Bernama