Pencemaran Bau Dari Kilang CJ Bio Di Kawasan ‘Kerteh Biopolymer Park’

7784

Majlis pecah tanah Kerteh Biopolymer Park (KBP) telah disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak pada tahun 2012, ketika itu kerajaan negeri Terengganu dibawah Menteri Besar YAB Dato’ Seri Ahmad bin Said.

Pembinaan loji bersepadu ‘Biometionina’ dan ‘Tiokimia’ pertama di dunia di Kerteh Biopolymer Park (KBP) yang terletak di atas kawasan seluas 70 hektar ini melibatkan pembangunan loji ‘Bio-Metionina’ CheilJedang CJ (CJ) dari Korea dan platform ‘Tiokimia Arkema’ dari Perancis dan telah siap dan mula beroperasi pada awal 2014 .

IMG_20151124_103838Fasiliti bersepadu tersebut akan membolehkan CJ memenuhi permintaan yang tinggi bagi metionina, sejenis asid amino sulfur yang digunakan secara meluas untuk menghasilkan makanan haiwan di Asia, serta membolehkan Arkema menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada para pelanggannya di Asia melalui platform perindustrian terbaru tersebut.

Itu adalah antara berita-berita baik yang bakal diterima oleh pihak kerajaan dan rakyat. Namun kesan sampingan yang berlaku juga sewajarnya perlu dilihat dan diambil perhatian serius oleh pihak berwajib.

Operasi kilang CJ Bio telah menghasilkan pencemaran bau yang teruk. Bau busuk yang dihasilkan daripada kilang CJ Bio adalah berterusan dan tersebar hingga ke kilang-kilang ‘Petrochemical’, jalan utama Paka – Kerteh sehingga jauh ke perkampungan penduduk di Paka. Ia telah menggangu ketenteraman pekerja-pekerja menjalankan kerja dan penduduk untuk melakukan aktiviti harian mereka.

Masalah ini perlu diselesaikan dan kajian perlu dilakukan untuk memastikan pencemaran bau boleh dikawal sebaik mungkin. Pihak MPK tidak sewajarnya memperbaharui lesen premis jika masalah bau busuk tidak diselesaikan oleh pihak kilang.

Badan penguatkuasa seperti Jabatan Alam Sekitar juga patut untuk turut sama berperanan dalam memastikan pematuhan keatas setiap syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Saya menggesa tindakan segera diambil bagi mengutamakan kesejahteraan hidup rakyat setempat sesuai dengan slogan Menteri Besar Terengganu Dato’Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, Transformasi Terengganu Baharu!

Haji Hanafiah Mat @ Ramly
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai
Penolong Setiausaha PAS Negeri Terengganu
12 Safar 1437 bersamaan 24 November, 2015