Pemutihan Guru Kafa Dendam Politik?

2306

Saya ingin menarik perhatian rakyat Terengganu, apabila seramai kira-kira 200 orang guru Kafa dilaporkan telah ditamatkan kontrak oleh Yayasan Islam Terengganu (YIT). Dari sumber-sumber yang saya perolehi, tindakan ini saya anggap sebagai tidak demokratik dan ‘kelihatannya’ satu agenda membalas dendam (lihat lampiran).

Dengan menamatkan kontrak mereka, kerajaan seolah-olah telah menutup pintu perbincangan yang sepatutnya dibuka seluas-luasnya kepada guru-guru Kafa ini sesuai dengan motto merakyatkan pembangunan oleh kerajaan negeri.

Penamatan kontrak ini dilihat sebagai sesuatu yang menghairankan kerana dibuat dengan jumlah yang besar, kelihatannya seperti pengurusan YIT ataupun guru-guru Kafa itu sedang menghadapi masalah yang serius.

Apa alasan yang sebenarnya? Adakah guru-guru tersebut kurang terlatih? Maka kenapa tidak dipertingkat kemahiran mereka dengan kursus-kursus yang sesuai? Juga kita merasa hairan dengan dakwaan pencapaian Kafa Terengganu antara yang terbaik di Malaysia, ‘kontras’ jika tenaga pengajar itu dikatakan kurang mahir.

Dan jika masalah disiplin menjadi sebab utamanya, kenapa begitu ramai ‘sekaligus’ dikenakan tindakan? Ini memperlihatkan seolah-olah Yayasan Islam tidak mampu mengawal kakitangan kontraknya.

Impak dari penamatan kontrak secara besar-besaran ini adalah kepada para pelajar keseluruhannya. Bukanlah sesuatu yang mudah untuk mencari pengganti dalam masa yang singkat dengan jumlah yang begitu besar apatah lagi tarikh bermulanya sesi persekolahan 2014 hanya tinggal lebih kurang seminggu sahaja lagi. Kerajaan dan YIT memperjudikan nasib pelajar-pelajar ini!

Setelah kerajaan pusat yang juga pimpinan Umno-BN saban masa mengisytiharkan kenaikan harga barangan dan kos-kos lain selepas PRU, berlawanan dengan janji mereka sebelum PRU dahulu, saya benar-benar berharap agar tindakan ini bukan dendam politik tetapi agak sukar untuk diterima, setelah mengambil kira faktor-faktor yang nyata.

Saya dengan ini menyeru agar semua rakyat Terengganu membuka mata hati agar sedar akan perkara ini yang mungkin juga mekibatkan saudara mara atau orang-orang terdekat dengan anda semua.

Saya berdoa kepada Allah semoga semua guru-guru Kafa yang diberhentikan itu dikurniakan pahala atas ketabahan mereka dan Allah maha mendengar doa orang yang dizalimi.

YB USTAZ MOHD NOR HAMZAH
KETUA PENERANGAN PAS NEGERI TERENGGANU
ADUN BUKIT PAYONG
21 Safar, 1435H/ 24 Disember, 2013