Pemuda PAS Kelantan Sedia Jadi Penganjur ‘Pertemuan Bersemuka’

1560

Cadangan Mustafa Ali : Pemuda PAS Kelantan Sedia Jadi Penganjur

Saya membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Mustafa Ali yang disiarkan oleh akhbar Sinar Harian hari ini 17 November 2015. Beliau di dalam kenyataan tersebut mengajak Ahli Dewan Undangan Negeri Salor, Dato’ Husam Musa untuk bersemuka di dalam satu majlis terbuka bagi mendedahkan kebenaran berhubung pertemuan pemimpin PAS – UMNO selepas pilihanraya umum 2008. Beliau juga mencadangkan agar majlis tersebut diadakan di Kota Bharu dengan mana-mana pihak bertindak sebagai penganjur atau moderator dan turut melibatkan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang juga dikaitkan sebagai salah seorang pemimpin PAS yang berjumpa dengan pimpinan UNNO pada masa itu.

Sehubungan dengan itu, mewakili Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, suka untuk saya menyatakan kesediaan kami untuk menjadi penganjur majlis dialog terbuka ini sekiranya difikirkan sesuai.  Kami bersedia untuk menyediakan ruang yang seluas-luasnya untuk kehadiran seramai mungkin hadirin yang berminat untuk mengikuti penjelasan isu ini secara langsung dari individu yang terlibat.

Harapan kami agar dua individu yang dicadangkan oleh Dato’ Mustafa Ali untuk bersemuka dengan beliau iaitu Dato’ Husam Musa dan Khalid Samad dapat memberikan persetujuan dan bersedia untuk hadir apabila dijemput nanti.  Semoga ia menjadi majlis yang bermanfaat dan menghilangkan keraguan yang ditimbulkan berhubung tohmahan kononnya PAS berhasrat untuk bergabung dengan UMNO.

Bagi pihak Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, saya mohon mencadang.

Sekian, terima kasih.
 
AHMAD FADHLI BIN SHAARI
Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.

Bertarikh : 5 Safar 1437 / 17 November 2015