KUALA TERENGGANU – Kepimpinan atasan Umno termasuk di negeri Terengganu takut kehilangan kepentingan peribadi sehingga sanggup menggadaikan prinsip perjuangan demi mengekalkan kuasa.
Ketua Penerangan PAS Besut, Nik Mazli Mat Yusof berkata, kebimbangan terhadap hilangnya ‘laba’ tertentu menyebabkan Umno memilih untuk terus bekerjasama dengan DAP, parti ‘cauvinis’ yang disifatkan tidak sehaluan dengan perjuangan Islam dan orang Melayu.
“Slogan ‘No Anwar No DAP’ hilang ditelan tindakan pemimpin, amat dikesalkan kerana jelas bercanggah dengan prinsip perjuangan yang selama ini dilaungkan Umno,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau, berbeza dengan PAS yang sentiasa kekal membuka pintu penyatuan walaupun telah mencatat kemenangan terbesar dalam sejarah pilihan raya di peringkat nasional dan Terengganu.
“PAS meraih 43 kerusi parlimen terbannyak berbanding semua parti dan menyapu bersih 32 kerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu.
“Di Terengganu khususnya, pimpinan atasan Umno dilihat takut pada bayang-bayang sendiri sehingga ada yang mendakwa ‘ngeri’ dengan PAS, tapi sangat selesa dengan DAP,” jelasnya.
Oleh itu, beliau menyeru ahli-ahli Umno yang masih setia dengan Islam dan Melayu supaya mempertimbangkan untuk menyertai PAS yang lebih jelas dan konsisten memperjuangkan agenda aganma dan bangsa.


“Jika Umno terus berpegang kepada pendirian yang silap dan merugikan, saya menyeru ahli-ahlinya agar beralih kepada PAS, sebuah parti yang istiqamah menegakkan Islam dan membela orang Melayu,” tegasnya.
Katanya, walaupun sengketa perseteruan antara PAS dan Umno telah lama berlaku, Muafakat Nasional (MN) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 membuktikan keterbukaan PAS dan kedua-dua parti mampu bersatu demi kepentingan negara.
“Walaupun tempoh MN tidak panjang, penerimaan ahli-ahli PAS dan Umno di peringkat akar umbi sangat baik, namun penyatuan itu sukar diteruskan apabila pimpinan atasan Umno lebih mengutamakan kepentingan diri,” katanya.
Tambah beliau, hakikatnya ahli-ahli Umno di peringkat akar umbi sebenarnya sudah muak dengan perbalahan dan lebih cenderung kepada penyatuan.





























