Pembinaan Jambatan Tidak Libatkan Pulau Sekati

2066

http://www.buletinonline.net/http://buletinonline.net/v7/wp-content/uploads/2010/07/DSC04797.JPG– Helah MB dan Kerajaan Umno/BN Terengganu?
KUALA TERENGGANU
– Bulan lalu, 17 Jun, Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said mengumumkan secara rasminya, pembinaan jambatan baru menghubungkan Losong melalui Bukit Datu sehingga persimpangan Semarak di Bukit Tunggal di sini tidak akan melibatkan Pulau Sekati.

Ahmad berkata, pada awalnya, Pulau Sekati merupakan laluan asal pembinaan jambatan tersebut namun ia diubah selepas kajian semula dilakukan.

”Pembinaan jambatan melalui laluan baru tersebut tidak akan memberi kesan kepada Pulau Sekati kerana jumlah penduduknya tidak ramai.

”Penduduk Pulau Sekati akan kekal menggunakan laluan sedia ada untuk ke bandar dan sebagainya,” katanya (Gambar – tinjau-tinjau jambatan Losong ke Teluk Pasu)

Keputusan tersebut di dedahkan Ahmad sehari sebelumnya, selepas mesyuarat Exco 16 Jun, Rabu lepas.

Sewaktu mengumumkan pembinaan jambatan ketiga merentasi Sungai Terengganu itu, beliau berkata, ia dapat menjimatkan RM40 juta.

Katanya jajaran jambatan baru menghubungkan Losong melalui Bukit Datu sehingga persimpangan Semarak di Bukit Tunggal bernilai RM250 juta berbanding pelan asal yang bernilai RM290 juta.

Beliau berkata, keputusan tersebut dibuat setelah beberapa kali mengadakan perbincangan.

“Sebelum itu, jambatan ini dibina menghubungkan Tanjung Sabtu melalui Banggol Tuan Muda, sekarang kita ubah laluan melalui Losong ke Bukit Datu dan terus ke persimpangan Semarak di Bukit Tunggal,” katanya.

Mengulas perkara tersebut, Ahli Dewan Undangan Bukit Tunggal, Dr. Alias Razak agak terkejut kerana pada persidangan DUN lepas, Exco berkenaan Yahya Khatib Mohamad berkata, ia masih dalam peringkat kajian.

Beliau yang ditemui berkata, bagaimana kajian tersebut tiba-tiba selesai belum pun menjangkaui tempoh 6 bulan.

”Dalam mesyuarat Sidang DUN lalu, dua kali pernah ditimbulkan pertanyaan berkenaan jambatan Pulau Sekati, kedua-dua soalan diberikan jawapan, ia masih dalam kajian,

”tiba-tiba, minggu lepas MB umumkan ia akan dibina bermula tahun depan, tiba-tiba ia diluluskan begitu cepat setelah rancangan pembinaanya ‘tersadai’ sejak RMK 9,

”Apa helah MB sebenarnya?,mengumumkan projek tersebut akan dibuat, secara tergesa-gesa (pada tahun depan)?,”soal Dr. Alias.

Sudah Siap Sepenuhnya

Agak menghairankan juga, dalam era ‘pencapaian diutamakan’ ini, projek yang diberi nama ‘Jambatan Di atas Sungai Terengganu Ke Pulau Sekati Manir Terengganu’ dilaporkan telah siap sepenuhnya oleh laman Kementerian Kerja Raya.

Laman yang dicatat, dikemaskini pada 18 Jun, 2010 itu menyatakan status projek bernombor P27310001260000 “Telah Siap Sepenuhnya”.

Laporan tersebut mungkin dibuat berdasarkan anggaran kerja yang dilaksanakan melalui Tender yang telah dinyatakan oleh Jabatan Kerja Raya pada 19 Sptember 2006.

Tawaran Tender tersebut mencatatkan Penender diwajibkan menghadiri taklimat dan lawatan tapak pada jam 9.30 pagi, 25 September, 2006, di Bilik Rekreasi, Tingkat 1, Kompleks Muzium Negeri, Bukit Losong Kuala Terengganu.

Tender tersebut ditutup pada jam 12 tengahari, 2 November, 2006, bertempat di Kementerian Kerja Raya, Jalan Salahudin Kuala Lumpur.

Tidak Mengurangkan Kesesakan

Menurut Dr.Alias Razak, jajaran baru jambatan yang mengelak laluan Losong- Pulau Sekati – Teluk Pasu dan sepatutnya keluar di Kampung Banggol Tuan Muda, tidak akan mengurangkan kesesakan laluan sedia ada.

Katanya, jajaran baru Losong – Bukit Datu dan keluar di Persimpangan Semarak dalam DUN Bukit Tunggal, akan menyebabkan kesesakan bertambah teruk bagi laluan Jambatan Sultan Mahmud.

Menurutnya, aliran trafik akan bertumpu di Persimpangan Semarak, apabila semua kenderaan yang datang dari bandar Kuala Terengganu melalui Jambatan Sultan Mahmud, bertembung dengan kenderaan dari Kuala Terengganu melalui Jambatan Losong-Bukit Datu yang baru.

”kenderaan akan ‘tersumbat’ di simpang itu pula kerana jalan sedia ada melalui Jambatan Sultan Mahmud telah diketahui umum tidak dapat menampung aliran trafik, terutamanya pada musim cuti dan perayaan,”ujarnya.

Tidak sampai 6 bulan, Yahya Khatib pada 4 Januari lalu berkata, pembinaan jambatan merentangi Sungai Terengganu menghubungkan Kampung Teluk Pasu-Pulau Sekati-Muzium di Losong, akan dapat mengurangkan kesesakan Jambatan Sultan Mahmud.

“Kerajaan memberi keutamaan untuk membina jambatan Teluk Pasuk-Pulau Sekati-Muzium bagi mengatasi kesesakan yang bertambah serius di Jambatan Sultan Mahmud sekarang,” katanya selepas mesyuarat Exco 3 Januari.

Menurut laporan akhbar, MB Ahmad Said pada 10 November tahun lalu juga mengakui jajaran asal yang telah diluluskan oleh kerajaan pusat, akan mengurangkan kesesakan lalulintas.

“Kerajaan negeri juga merancang untuk membina sebuah jambatan menghubungkan Kampung Losong-Pulau Sekati-Teluk Pasu, bagi mengurangkan kesesakan di Jambatan Sultan Mahmud sekarang,” katanya dipetik Bernama.

“Ia sudah diluluskan oleh kerajaan pusat sebelum ini, namun kerajaan negeri minta diubah menjadi empat lorong daripada dua lorong yang dicadangkan sebelum ini. Sebab itu berlaku kelewatan kerana ada ubah suai dan pengambilan tanah,” tambahnya.

Namun begitu, mengapa tiba-tiba jajaran tersebut di tukar? Apakah kesah disebaliknya? Pasti ada sesuatu disebaliknya!

Masa Semakin Suntuk

Kertas persidangan Parlimen bertarikh 5 Mac, 2009 mencatatkan, Ahli Palimen Kuala Nerus Dato’ Mohd Nasir bin Ibrahim Fikri meminta MENTERI KERJA RAYA menyatakan pembangunan yang pesat berlaku di Parlimen Kuala Terengganu dan Parlimen Kuala Nerus telah mengakibatkan kesesakan lalu lintas yang menghubungkan kedua-dua Parlimen ini, adakah Kerajaan bercadang untuk mempercepatkan proses pembinaan Jambatan Pulau Sekati yang telah tertangguh sejak tahun 2006 lagi.

Empat hari sebelumnya, Nasir dilaporkan akhbar media perdana berkata, pembinaan jambatan tersebut akan disegerakan bagi mengelak kesesakan lalu lintas di Jambatan Sultan Mahmud menjadi lebih buruk.

”Berdasarkan kajian yang dibuat, Jambatan Sultan Mahmud hanya mampu menampung jumlah kenderaan yang ada sekarang sehingga 2010,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan negeri dalam proses mengenal pasti dan mengambil semula tanah untuk pembinaan jambatan baru tersebut.

Dengan itu, ia bermakna pembinaan jambatan Losong-Pulau Sekati-Teluk Pasu telah terlewat 4 tahun.

Jambatan yang dirancang untuk dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia ke 9 (RMK9) tersebut belum dibina, walaupun Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak telah pun membentangkan RMK 10.

Ke mana Bajet Tambahan RM361juta?

Pada 25 dan 26 Ogos tahun lalu kerajaan negeri Terengganu meluluskan Bajet Tambahan sebanyak RM361, 267, 300.00.

Bajet diluar ‘lingkungan’ itu bertujuan politik untuk diagih-agihkan sebagai projek kepada para kroni.

Dari RM361, 27,300.00 itu, sebanyak RM80, 453, 300.00 adalah tambahan bagi perbelanjaan mengurus dan selebihnya sebanyak RM280, 814,000.00, adalah untuk perbelanjaan pembangunan.

Disenaraikan dalam Bajet Tambahan itu adalah perbelanjaan mengurus dalam tajuk Bantuan Am Dalam Negeri sebanyak RM27, 200, 000.00 dibelanjakan untuk tujuan politik, biasanya adalah agihan samada pemberian bantuan kebajikan masyarakat atau pun bantuan-bantuan lain.

Sebanyak RM6,000,000.00 lagi akan dibelanjakan bagi Dana Bakti Remaja yang semua sudah maklum, merupakan program kerajaan Umno/BN membeli pengundi-pengundi muda dengan kadar RM500.00 seorang.

Apa yang menarik tersenarai dalam bajet tambahan tersebut adalah perbelanjaan pembangunan berkaitan pembinaan jambatan Pulau Sekati.

ADUN Bukit Tunggal, Dr. Alias Razak ketika itu berkata, pembinaan jambatan Pulau Sekati ini telah lama diluluskan dan ianya termasuk dalam tanggungjawab kerajaan Persekutuan.

”Sudahlah tidak nampak apa-apa yang menunjukkan aktiviti pembinaan jambatan itu, sepatutnya kos pembinaan jambatan itu ditanggung oleh kerajaan Pusat,

”kalau tak silap saya ia telah diluluskan melalui peruntukan persekutuan, mengapa timbul pula dalam bajet tambahan kerajaan negeri,”jelasnya.

Menurut sumber, ia akan dibayar kepada kerja-kerja awal yang telah dilaksanakan, samada kerja-kerja perunding cara (consultation) atau kerja-kerja perkhidmatan lain.

Rupa-rupanya, perbelanjaan ratusan ribu yang dipertuntukkan dalam Bajet Tambahan untuk yuran jururunding adalah untuk mengubah laluan asal jambatan Pulau Sekati.

Ia merujuk kepada Menteri Besar Dato’ Ahmad Said yang dipetik berkata; pada awalnya, Pulau Sekati merupakan laluan asal pembinaan jambatan tersebut namun ia diubah selepas kajian semula dilakukan.

Pembayaran jumlah wang rakyat yang begitu banyak menimbulkan persoalan, apakah helah kerajaan Umno/BN Terengganu disebaliknya.

“Kalau mahu mengubah jajaran begitu, tidak perlu mengupah syarikat jururunding dan membayar ratusan ribu ringgit,”rungut Dr. Alias lagi.

____________________________________________________________________________________________

*ADUN Bukit Tunggal akan meminta penjelasan kerajaan berkaitan perubahan cadangan asal jajaran asal pembinaan jambatan Losong -Pulau Sekati-Teluk Pasu, yang kini menjadi Losong-Bukit Datu-Persimpangan Semarak.

*Soalan berkenaan telah dihantar kepada pihak Setiausaha Dewan Undangan Negeri bagi Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Bagi Dewan Undangan (Sidang DUN) Negeri Terengganu Kedua Belas yang dijadualkan pada 8 dan 9 Ogos, 2010 akan datang.