Pembinaan IPT Negeri Bermula 2020

3787

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU – PAS Terengganu tidak lupa janji mereka yang menegaskan melalui manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 yang lalu, akan mewujudkan semula sebuah Institut Pengajian Tinggi Islam milik negeri.

Timbalan Pesuruhjaya I PAS Terengganu YB Ustaz Satiful Bahri berkata, ia akan mula dibangunkan pada tahun 2020.

“Sekarang ini tak buat lagi tahun ini kita sibuk untuk menyelaraskan kerja-kerja bagi menyusun tindakan (yang) sepatutnya,

“memperkemaskan pentadbiran pendidikan di negeri Terengganu,” jelasnya.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Menengah Agama Negeri Terengganu Tahun 2018 pada hari ini, 12 November.

Sehubungan itu  beliau berkata, usaha telah diambil untuk mengenal pasti lokasi IPT dan membangunkan infrastruktur bagi IPT tersebut yang bakal menggantikan Kolej Sultan Zainal Abidin (KUSZA).

“Insya Allah kita nak buat kita perlu siapkan dengan infrastruktur, kenal pasti tempat.

“(Dan) IPT (itu akan) diletakkan di bawah (tanggungjawab) Yayasan Terengganu,” tambah beliau.

Menurut ADUN Paka itu, KUSZA telah diserahkan kepada kerajaan pusat ekoran kemenangan Barisan Nasioanal (BN) pada tahun 2005 dan dijadikan Universiti Darul Iman.

Setelah menghadapi beberapa masalah ia telah ditukarkan menjadi Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada tahun 2010, menjadikan negeri Terengganu tidak lagi memiliki sebuah universiti ataupun kolej.

Namun begitu Ustaz Satiful berkata, tidak ada sebarang peruntukan bagi tujuan pembinaan IPT itu yang akan dimasukkan dalam bajet 2019.

“Tempat (lokasi IPT) itu tak boleh  royak (beritahu) lagi tapi dalam bajet kali ini tiada lagi diletakkan peruntukan membina IPT tersebut.

“Mungkin tahun depan insya Allah  kita letak dalam bajet,” ujar beliau.