Pelajar Tahfiz, Pondok Diberi Peluang

3293

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU – Kerajaan PAS Terengganu sedia memberi ruang dan peluang kepada para pelajar aliran tahfiz dan pondok untuk berjaya dalam pelbagai bidang di negeri ini.

Timbalan Pesuruhjaya I PAS Terengganu Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, rakyat Terengganu akan mendapat pilihan yang pelbagai sama ada di sekolah kerajaan negeri, sekolah swasta dan sebagainya.
Justeru, kata beliau, kerajaan tidak mahu ada di kalangan rakyat di negeri ini yang ketinggalan dalam kelompok pendidikannya.

“Hasrat kita (Maju, Berkat dan Sejahtera) sebagai tema adalah bukan saja untuk kepentingan ukrawi sahaja dengan meninggalkan duniawi atau pun meninggalkan ukrawi dengan mementingkan duniawi.
“Yang penting kita (kerajaan) cuba gabung jalinkan (pendidikan) bermula dari sekolah rendah sampai peringkat (menengah) negeri.

“Kita melihat seolah-olah ada lompang dalam soal pendidikan atau institusi khususnya Sekolah Agama Rakyat (SAR) seperti tahfiz, pondok, pusat-pusat pengajian Islam.

“Mereka kalau diberi peluang, kadang-kadang mereka boleh meraih kecemerlangan. Contohnya, hafiz, kalau mereka manpu untuk menghafaz 30 juzuk (Quran), baik kita beri peluang kepada mereka juga untuk menceburi bidang-bidang lain khususnya bidang teknikal dan sebagainya,” ujar Ustaz Satiful.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, berkata demikian dalam satu sidang media selepas merasmikan, Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Menengah Agama Negeri Terengganu Tahun 2018, di Dewan Auditorium, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), di sini, 12 November lalu.

Menurutnya, kerajaan negeri akan memanfaatkan agensi dan institusi seperti TESDEC (Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu), TATI (Terengganu Advanced Technical Institute) dan TATI Scare yang sedia ada sekarang.
“Hasrat kita (kerajaan) boleh menawarkan mereka ini boleh mendapat peluang untuk mengambil peperiksaan awam. Insya’Allah, lepas itu mereka (pelajar) akan mendapat pilihan yang pelbagai.

“Boleh nak terus kepada Pengajian Islam ataupun boleh pergi kepada teknikal, engineering dan lain-lain.
“Ada dua usaha yang kita cuba supaya mereka kita offer untuk pendidikan atau pun peperiksaan awam sedia ada, atau pun kita cuba untuk menggabungjalinkan dalam institusi yang sedia ada ini,” jelasnya.

Menurutnya, pelajar dari aliran tahfiz pondok juga boleh ditawarkan mengambil peperiksaan SPM selain menghafal 30 juzuk al-Quran.