PDRM Perlu Reformasi Menyeluruh, Kembalikan Keyakinan Rakyat

1663

Polis Di Raja Malaysia (PDRM) mengumumkan melakukan operasi anti rasuah dengan melibatkan siasatan dan tangkapan terhadap 60 orang anggota tersebut yang dipercayai terlibat dalam pengubahan wang haram dan rasuah. Operasi tersebut melibatkan usaha bersama antara SPRM, Bank Negara Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja. Ia berikutan terdapatnya aduan bahawa pegawai polis termasuk yang berpangkat tinggi menerima rasuah dan habuan daripada perniagaan haram seperti perjudian di kafe siber, rumah urut dan sarang pelacuran.

sewa pistol polisPendedahan berhubung operasi dan tangkapan ini menandakan pasukan tersebut berada dalam krisis yang paling membimbangkan. PDRM memerlukan agensi luar dan bantuan penguatkuasaan lain bagi membanteras anggotanya yang didapati terlibat kesalahan. Ia menandakan bahawa PDRM sudah semakin hilang kedudukannya, dipandang rendah serta kurangnya kepercayaan masyarakat terhadap pasukan tersebut.

Padanlah dengan berseleraknya pusat-pusat hiburan termasuk yang haram, rumah-rumah pelacuran dan rumah urut yang tumbuh melata ditengah ibu kota. Apa yang menghairankan, kebanyakan perniagaan haram selama ini seperti dibiarkan berleluasa tanpa tindakan, rupanya memang ia sengaja dipelihara demi kepentingan sendiri pihak tertentu. Mungkin segala operasi yang dijalankan selama ini hanya sandiwara golongan penyangak untuk mengabui mata masyarakat bahawa PDRM bertegas pada kemungkaran, walhal dibelakangnya, mereka saling bersalaman sambil mengedar wang habuan sesama mereka.

Kesannya menjadi lebih besar dengan gejala sosial menjadi semakin parah dalam masyarakat. Dadah, pil khayal, pelacuran, perzinaan, minuman keras adalah pakej pelengkap apabila sesuatu pusat hiburan serta rumah pelacuran beroperasi. Tambahan lagi, kumpulang samseng, kongsi gelap dan keganasan membudayai dan menjalar sekitar masyarakat, kumpulan yang kuat akan menongkat langit manakala yang lemah akan mengemis minta simpati dan perlindungan.

jenayah polisJika ini berlaku di negara lain, Ketua Polis Negara serta menteri terbabit akan mengambil tanggungjawab dengan meletakkan jawatan atas kesalahan pegawai bawahannya. Bagi mereka, kes seumpama ini adalah suatu perkara yang amat serius dan meletakkan jawatan adalah jawapan bagi permasalahan yang menimpa. Namun bagi negara ini, ia dianggap kes terpencil manakala pegawai tertinggi pasukan tersebut serta menterinya berlepas diri dengan menuding jari pegawai bawahannya yang terlibat, seolah-olah mereka tidak bertanggungjawab atas apa yang berlaku.

Apapun, PDRM memerlukan suatu anjakan bagi mengubah tanggapan dan persepsi buruk pada mereka. Perubahan tersebut bukan pada imej dan penampilan diri, tetapi kepada integriti dan maruah pasukan terbabit.

DR USTAZ RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat