Oleh : Ida Hidayah
Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) An-Nadwah telah berjaya menganjurkan ‘Ihtifal’ atau Majlis Konvokesyen pada Isnin, 10 November yang lalu dengan begitu meriah dan kegemilang bersama komuniti Pulau Redang, sebuah destinasi pelancongan yang terkenal di dunia.


Penduduk Pulau Redang mula berkenalan dengan pendidikan pra-sekolah anjuran PAS itu ketika parti itu mememrintah dan mentadbir negeri Terengganu Darul Iman, tahun 2004.
Namun, berkat kesungguhan aktivis dan para pendidiknya, PASTI yang ‘sinonim’ dengan ‘pembangkang’, semakin diterima oleh masyarakat pulau tersebut.
Justeru, PASTI yang hanya mempunyai 15 orang pelajar kini sudah bertambah lebih sekali ganda, kepada angka 32 orang.
“Kami dulu menerima hanya 15 orang pelajar yang ingin belajar di PASTI kami. Namun setiap tahun pelajar kami makin bertambah. Dan kini, Alhamdulillah kami mempunyai 32 orang pelajar kesemuanya”.


Beliau yang ditemui selepas Majlis Konvokesyen itu menjelaskan, anak-anak yang belajar di PASTI akan mempraktikkan ilmu yang mereka belajar bila kembali ke rumah.
“Mereka suka baca doa, hormat pada ibu bapa dan orang tua serta lebih cemerlang di dalam pelajaran. Ini menyebabkan ibubapa lain tertarik dan ingin menghantar anak mereka ke PASTI dengan harapan agar anak mereka juga lebih cemerlang,”tambah beliau.
Oleh itu, beliau bersyukur kerana PASTI yang dulunya asing kepada penduduk pulau, kini merupakan institusi pra-sekolah utama yang menjadi pilihan ibubapa .


“Ini merupakan suatu pemangkin semangat kepada kami agar lebih berusaha memajukan PASTI ini,”tegasnya.
Turut berkongsi pandangan adalah ibu kepada pelajar PASTI, Puan Kamilah A. Rahman.
Beliau juga merupakan antara guru terawal yang memberikan khidmat bakti sejak penubuhan PASTI di sana.
“Saya dok reti nok terang guane lagi. Memang terang lagi bersuluh kita tengok dan nilai sendiri anak-anak yang kita hantar di PASTI ni guane. Kite tengok anak pandai membaca, suka baca doa dan perangai pun molek. Kite mok ayah kat rumah memang dok mampu nak ajar dan tarik minat mereka belajar jadi pandai gini”.
“Bila anak-anak duduk dengan kawan-kawan, mereka jadi minat nak belajar. Jadi anak-anak cepat pandai. Pastu, belajar bab agama pulak” katanya lagi.


Sokongan kewangan dan semangat, amat diperlukan oleh PASTI bagi melancarkan kerja dakwah dan pendidikan mereka.
Cabaran buat mereka untuk terus mengekalkan kejayaan dan kepercayaan ibubapa di sana.
Bagi pihak PASTI mahupun ibubapa, pendidikan agama pada peringkat awal anak-anak, merupakan jambatan buat mereka di dalam mempersiapkan diri meniti kehidupan mencabar di masa depan.
Sesungguhnya sebuah pusat ilmu yang gemilang, mampu merentasi sempadan geografi, politik dan perkauman, yang tidak akan sesekali menjadi penghalang kepada jalan menuju kejayaan di dunia dan Akhirat.



























