PAS Yakin PN Mampu Ambil Alih Selangor

19

PAS Selangor berkeyakinan penuh bahawa Perikatan Nasional mempunyai peluang baik untuk menang dalam Pilihan Raya Negeri ke 15 di Selangor walaupun cuba dinafikan pihak lawan.

Keyakinan ini bersandarkan beberapa perkembangan mutakhir dan beberapa faktor yang ternyata menyumbang ke arah keyakinan itu.

Sesungguhnya rakyat di Negeri Selangor sudah muak dengan siri-siri pembohongan dan jani-janji palsu Pakatan Harapan dan ia diterjemahkan dalam bentuk undi.

Calon-calon PH dan Barisan Nasional kecundang di enam kerusi Parlimen di negeri ini dalam PRU Parlimen ke 15 baru-baru ini malah BN gagal memenangi walau satu kerusi pun di Selangor.

PH dilihat tidak memiliki kemampuan membawa imej yang dikehendaki rakyat dalam pentadbiran tambahan apabila mereka sanggup pula berkerjasama dengan Barisan Nasional yang selama ini mereka serang sebagai kleptokrat dan serba pincang.

Rakyat Selangor masih tidak dapat melihat sebarang bentuk penyelesaian yang memuaskan dari kerajaan PH berhubung beberapa permasalahan besar di negeri ini termasuklah isu kos hidup, peluang pekerjaan dan perumahanan, isu banjir, pengurusan cerun dan tanah tinggi, pencemaran air dan kemudahan infrastruktur serta liputan internet.

Rakyat Selangor inginkan sebuah kerajaan negeri yang berwibawa penuh berintegriti dan dapat membela nasib dan kehidupan mereka disamping membawa pembangunan kepada rakyat dan negeri.

Bukannya sebuah kerajaan yang populis dan gemar menabur janji-janji tetapi gagal membantu dan menangani permasalahan rakyat.

Atas faktor inilah dan mengambil kira “Gelombang Hijau” yang membawa kemenangan besar pada PAS dan PN dalam PRU ke 15 baru-baru ini termasuk undi dari anak-anak muda, PAS yakin akan mampu mengambil-alih kerajaan negeri bersama Perikatan Nasional dengan menjanjikan sebuah pentadbiran yang bersih dan stabil sebagaimana dikehendaki rakyat di negeri ini.

DATO DR AHMAD YUNUS BIN HAIRIP
esuruhjaya PAS Negeri Selangor

Isnin 16 Januari 2023/ 23 Jamadil Akhir 1444