KUALA KANGSAR – PAS yang mengumumkan calon wanita bertanding bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) P067 Kuala Kangsar yakin dengan kemampuan dan ketokohannya mampu menggalas tugas wakil rakyat jika mandat diberikan oleh rakyat.
Malah, kemenangan calon PAS pada pilihan raya kali ini sangat penting sebagai tanda isyarat rakyat kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata calon PAS Dr Najihatussalehah Ahmad merupakan anak jati negeri Perak yang mempunyai kelebihan tersendirinya.


Bahkan, katanya calon PAS itu pernah mendapat pendidikan di sekolah Cina serta boleh berbahasa Cina dengan baik.
“Kita (PAS) yakin calon kita ini mampu untuk jadi wakil rakyat yang baik dan kita yakin dengan kemampuan beliau (Dr Najiha) jika diberi mandat oleh pengundi.
“Sesungguhnya, kemenangan pembangkang ini sangat penting pada PRK kali ini sebagai satu isyarat yang jelas kepada kerajaan Barisan Nasional ditolak oleh rakyat,” ujarnya.
Justeru, kata Dato’ Tuan Ibrahim bahawa sepatutnya hanya PAS yang mesti mewakili blok pembangkang menentang BN pada PRK kali ini.
Menurutnya, rakyat akan rasa kecewa jika pihak pembangkang lain turut serta bertanding hingga mewujudkan perlawanan tiga penjuru kelak.
“Tapi, kita (PAS) harap PAS akan mewakili blok pembangkang pada pilihan raya kecil ini dan rakyat akan rasa kecewa jika berlaku pertandingan tiga penjuru,” tegasnya kepada media.
Hadir sama pada sidang media itu, Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad, Setiausaha Agung PAS, Dato’ Mustafa Ali dan calon PAS, Dr Hajah Najihatussalehah Ahmad.
https://youtu.be/Uzb9RSfOhRU





























