PAS Ulangi Kesediaan Menjadi Kerajaan

665


Penolong Setiausaha Badan Pe rhubungan P AS Terengganu, Hanafiah Mat berkata,
kesediaan itu dilihat berdasarkan ‘mood’ rakyat yang semakin bosan dengan corak pentadbiran serta krisis kepimpinan dalaman Umno Terengganu.

Menurutnya, PAS Terengganu hanya memerlukan sebanyak 9 kerusi tambahan Dewan Undangan Negeri (Dun) bagi menjadikan 17 kerusi Dun dengan majoriti mudah sahaja.

“Kita (PAS) sudah sedia untuk jadi kerajaan semula di Terengganu. Kita (PAS) hanya perlu 9 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan mempertahan lapan kerusi Dun sedia ada sekarang.

“Kita (PAS) hanya perlu 9 kerusi yang baru untuk jadi 17 kerusi Dun dengan majoriti mudah sahaja memerintah negeri (Terengganu) ini,” jelasnya ketika ditemui Buletinonline selepas menyampaikan ceramah Maulidur Rasul di Surau Nelayan Kuala Kemaman

Beliau yang juga Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Chukai menegaskan sasaran 17 kerusi Dun itu boleh dicapai dalam PRU ke-13 akan datang.

Katanya, PAS Terengganu tidak bimbang meski pun menang dengan majoriti mudah kerana yakin tidak ada ahli yang akan lompat parti serta enakmen penting telah digubal.

“Kita (PAS) tidak bimbang walau pun menang dengan majoriti mudah sahaja kerana segala Enakmen Perundangan telah kita (PAS) gubal sebelum ini.

“Lagi pun, wakil-wakil rakyat PAS mempunyai ‘ketahanan’ diri (iman) dan tidak akan lompat parti, Insya’Allah,” tegasnya.

Menurutnya, pergolakkan dalaman parti Umno Terengganu antara ‘puak’ (kumpulan) Idris Jusuh dengan Ahmad Said belum ada jalan penyelesaian selepas PRU ke-12 lalu.

Kata Hanafiah, krisis hilang keyakinan terhadap Menteri Besar Terengganu serta perbalahan politik antara kumpulan tersebut kekal hingga ke pilihan raya akan datang.

“Kita (PAS) tidak mengharapkan masalah dalaman Umno itu untuk menang tetapi penyusunan gerak kerja parti dalam PAS dan Pakatan Rakyat diutamakan.

“Sekarang ini, puak Idris Jusoh kata puak ‘Mad (Ahmad) Said tidak betul dan tidak pandai (boleh) memerintah dan mereka (Umno) saling berbalah sesama sendiri,” ujarnya.

Menurutnya, senario tersebut berpanjangan dari awal selepas PRU Ke-12 lalu dan rakyat semakin bosan, ‘muak’ (benci) dengan perkembangan itu.