Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT kerana Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu telah menolak tuntutan pihak yang cuba mengaitkan Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan suatu fitnah.
Kami juga merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang terus beristiqamah dan tidak berbelah bahagi memberikan sokongan kepada Tuan Gutu Presiden PAS, khususnya kepada pasukan peguam yang telah menunjukkan iltizam yang tinggi dan bermujahadah dalam usaha membuktikan sesungguhnya tindakan Tuan Guru Presiden PAS menegur dan memberi peringatan kepada pemimpin serta calon yang akan bertanding tentang kredibiliti kepimpinan sebelum pilihan raya umum yamg ke-13 lalu, adalah tulus dan benar.


Kemenangan sebenarnya adalah kepada semua ahli serta penyokong PAS yang tanpa jemu hadir memberikan sokongan, setiap kali sesi perbicaraan berlangsung.
Sesungguhnya keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu yang telah menolak saman fitnah keatas Tuan Guru Presiden pada semalam, Isnin 15 Disember membuktikan ada usaha jahat untuk mencalarkan imej Tuan Guru Presiden dan cuba merosakan reputasi beliau, sebagai seorang ulamak yang disegani.
Justeru itu, kami mengajak semua pihak untuk mengambil iktibar dan pengajaran dari apa yang telah berlaku.
Semoga Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi terus memimpin ummah dan meneruskan perjuangan menegakkan Islam dimuka bumi milik Allah ini.
Kami sentiasa berdiri teguh bersama-sama Tuan Guru dan tetap beristiqamah menghadapi arus dan ranjau dalam keadaan susah atau pun senang, In shaa Allah!
Ustaz Satiful Bahri Mamat
Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka
Selasa, 15 Disember, 2014





























