PAS Terengganu mengambil maklum berkenaan dua program, pertama “National of the Golden Gate Aligning with Jerusalem’s Jublee’ yang dikatakan bakal berlangsung di Melaka pada 15-18 Jun ini. Program kedua, “All Borneo Revival Convocation 2017” yang dijadualkan berlangsung di Miri pada 22-25 Jun nanti.
Sambutan ini dikatakan berkenaan sambutan kepada 50 tahun kejayaan rejim haram Israel merampas Jerusalem di Palestin. Maklumat lain yang didapati daripada isi kandungan program itu ialah, berkenaan dengan gerakan mahu membebaskan Malaysia dan kaitan dengan gerakan kristianisasi yang telah dan akan berlaku di Malaysia. Malah dikatakan program ini bukan kali pertama berlangsung di Malaysia, tetapi sudah beberapa kali ianya dijalankan.
PAS Terengganu mendesak pihak berkuasa menghentikan segera program seumpama ini jika benar ianya akan berjalan di Malaysia.


PAS Terengganu memahami dan menghormati akan hak agama lain dan penganutnya mengamalkan kepercayaan mereka di Malaysia, tetapi ianya tertakluk kepada perlembagaan negara ini yang menyatakan bahawa Islam adalah agama persekutuan dan selain Islam, tidak dibenarkan menyebarkan ajaran agama lain kepada orang Islam.
Oleh itu jika program seperti ini adalah bagi menyebarkan kristianisasi di kalangan umat Islam, maka PAS Terengganu memberi amaran supaya ianya dihentikan.
Setelah The Star, isu arak dalam penerbangan dan kini berkenaan penganjuran program ini, jelas ianya bagi menghina kesucian bulan Ramadhan yang mulia ini.
Kerajaan pimpinan parti utamanya Umno, jelas dilihat gagal mempertahankan Islam sehingga bukan Islam semakin berani menginjak-injak agama Islam yang mulia ini kerana kelemahan dan kejahilan Umno itu sendiri. Umno mesti ditolak dalam PRU nanti. Wallahua’lam
YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
10 Ramadhan 1438 / 5 Jun 2017


























