Pada setiap tahun, sebagaimana biasa, Monsun Timur Laut yang dijangka melanda negeri-negeri Pantai Timur termasuk Terengganu bermula antara bulan November dan berakhir pada Mac setiap tahun dan dijangkakan akan berlakunya banjir.


Persiapan operasi merangkumi pelan bertindak untuk 3 fasa utama iaitu sebelum, semasa dan selepas berlakunya banjir.
Untuk tujuan itu, semua ‘armada’ akan digerakkan untuk mengambil peranan masing-masing merangkumi Unit Amal, Papisma, Darussyifa’, Ameerah, Persatuan Radio Amatur, Rakan Khidmat, Terengganu Adventure Group (TAG) dan Yayasan Amal Malaysia.
Semua kawasan Parlimen yang berisiko berlakunya banjir telah diarahkan untuk menyiapkan bilik gerakan banjir masing-masing dengan Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu akan berfungi sebagai Bilik Gerakan Banjir Induk di peringkat negeri.
Arahan awal telah dikeluarkan bagi setiap kawasan parlimen untuk menyenaraikan kampung-kampung yang berisiko, mempersiapkan peralatan menyelamat termasuk alatan komunikasi, bot dan kenderaan pacuan empat roda, mengenal pasti pusat-pusat pemindahan, mempersiapkan tempat simpanan bahan-bahan bantuan serta pelan tindakan menyelamat.
Dalam masa yang sama, kita bersedia untuk berkerjasama dengan semua agensi dan pihak berkuasa yang terlibat bagi memberikan khidmat yang terbaik kepada mangsa-mangsa banjir.


Persiapan kita juga merangkumi tugasan pasca banjir meliputi operasi pembersihan, pemulihan dan pembaikian.
Tentunya persiapan operasi yang sebesar ini memerlukan dana yang besar. Lantaran itu pihak kami merayu sumbangan dari kemurahan hati para dermawan semua untuk bersama menghulurkan bantuan.
Sumbangan boleh disalurkan ke akaun DANA KEBAJIKAN TERENGGANU, CIMB ISLAMIC 13010000056101. Sebarang makluman berkaitan sumbangan boleh hubungi, Bendahari Jawatankuasa Operasi Banjir PAS Terengganu, Tuan Haji Zulkifli Mat Yakim, 0199834436.
Dr Azman Ibrahim
Pengarah Jawatankuasa Operasi Banjir PAS Terengganu
Merangkap Pengerusi Lujnah Kebajikan PAS Terengganu.




























