PAS Selangor Sokong Kelantan

846

PAS Negeri Selangor menyokong penuh tindakan Kerajaan Negeri Kelantan untuk membawa satu rang undang-undang persendirian (private bill) berkaitan dengan isu Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 ke Parlimen dalam masa yang terdekat.

PAS Negeri Selangor juga menyambut baik hasrat Kerajaan Persekutuan untuk membantu hasrat Kerajaan Negeri Kelantan bagi melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 sepertimana yang telah dinyatakan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom baru-baru ini.

PAS Negeri Selangor mengharapkan semoga pembentangan rang undang-undang (private bill) ini yang akan di bawa oleh salah seorang Ahli Parlimen bukan kerajaan akan mendapat laluan yang baik untuk diluluskan di dalam sidang Dewan Rakyat bagi memberikan kuasa kepada Kerajaan Negeri Kelantan untuk melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 tersebut.

yb_zaidy-13Jun2013-163158PAS Negeri Selangor amat yakin dan percaya sekiranya Kerajaan Negeri Kelantan diberi peluang untuk menguatkuasakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993, maka Negeri Kelantan akan menjadi contoh terbaik negeri yang akan dapat menyelesaikan pelbagai masalah gejala sosial masyarakat dan mendapat keberkatan serta rahmat Yang Maha Esa bertepatan dengan firman Allah Taala di dalam surah Saba` ayat ke 15: “Baldatun toyyibatun warabbun ghafur. ” dengan bermaksud “Negara yang aman, makmur dan mendapatkan keampunan Allah.”. Kerajaan Negeri Brunei Darussalam yang kini telah bersungguh-sungguh untuk melaksanakan Undang-Undang Syariah Islam secara menyeluruh di dalam pentadbiran dan perlembagaan negara boleh menjadi contoh yang baik kemurahan rahmat Allah Taala dengan rezeki yang semakin melimpah ruah dan negeri yang aman makmur.

Akhirnya, PAS Negeri Selangor mendoakan semua Kerajaan Negeri Kelantan akan dapat melaksanakan amanah yang telah sekian lama terpendam kerana halangan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Semoga hasrat Kerajaan Negeri Kelantan akan dipermudahkan oleh Allah Taala dan akan dicontohi oleh kerajaan persekutuan dan negeri-negeri yang lain..

Y.B. Tuan Zaidy Bin Abdul Talib
Ketua Penerangan
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor,
ADN Taman Templer, Selangor

03 April 2014