PAS Selami Masalah Tanah Masyarakat Bukit Wan

1627

Oleh : Khairul Nizam Abdullah

SETIU – PAS akan menyelesaikan masalah pajakan tanah yang dibangkitkan penduduk Kampung Bukit Wan dan Kampung Bukit Nenasi jika berjaya memerintah negeri Terengganu pada pilihan raya umum (PRU) 14 nanti.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Terengganu, Haji Muhyiddin Abd Rashid berkata, beberapa orang penduduk yang ditemui beliau dalam program ziarah petang tadi telah menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap syarat pajakan tanah yang hanya diberi 60 tahun.

“Saya maklumkan tentang manifesto PAS kepada mereka (penduduk) dan mereka mengalukan malah mencadangkan supaya beberapa cadangan baru dibuat terutamanya bagi menyelesaikan masalah tanah,

“Diantara (perkara) yang dibangkitkan tadi ialah masalah tempoh pajakan tanah yang agak pendek iaitu 60 tahun, ” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas selesai menziarahi beberapa orang pemimpin masyarakat di Peti Undi (UPU) Bukit Wan sempena program Himpunan Harapan Semua (HARAP) – PGU 3.7 yang diadakan di Kampung Pengkalan Atap, Setiu, 27-29 Julai petang tadi.

“Masyarakat atau orang kampung telah mengusahakan tanah (tersebut) sekian lama tapi setelah habis tempoh pajakan , mereka terpaksa menyambung pajakan dan diberi tempoh hanya 60 tahun,

“Sedangkan usaha yang telah dibuat banyak untuk memajukan (dan) menghidupkan tanah,”jelas beliau.

Menurutnya, begitu juga beberapa isu lain yang beliau nampak ada tanda-tanda positif mereka akan bersama dengan PAS.

“Saya jangka akan berlaku perubahan yang besar di dua buah kampung iaitu Kampung Bukit Wan dan Kampung Bukit Nenasi dan saya dimaklumkan dua buah kampung ini kubu kuat bagi Barisan Nasional,

“Saya menemubual beberapa orang berpengaruh diantaranya guru silat, bekas Jawatan Kuasa Kawalan Kampung (J3K), Imam serta Bilal,

“Masing-masing memberikan respon yang positif dengan PAS ,” jelas beliau.

Katanya lagi, selepas beliau masuk menziarahi dari rumah ke rumah, sebenarnya masyarakat disini sangat terbuka dan bersedia mendengar pandangan PAS.

Justeru kata Haji Muhyiddin lagi, program yang dibuat ini perlu diteruskan iaitu kita pergi rumah ke rumah dan mendengar sendiri masalah-masalah yang dibangkitkan oleh mereka.

“Kita memberi cadangan-cadangan atau kita memberi maklumat kepada mereka apa yang sedang kita usahakan dan apa tawaran PAS terutamanya manifesto untuk menghadapi pilihan raya menjadikan isu penting yang kita, insya Allah akan lontarkan kepada masyarakat,

“Dan saya berharap semoga rakyat dapat menilai apa usaha yang kita buat ini untuk membantu masyarakat dan rakyat Terengganu khususnya, insya Allah,” tegasnya.