Oleh : KAM
KUALA TERENGGANU – Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sedia bekerjasama dan berganding bahu menyertai mana-mana operasi cegah mungkar dan jenayah, memerangi dadah dan gejala buruk didalam masyarakat.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menyifatkan usaha pihak terbabit turut melibat PAS dalam komuniti itu amat dialu-alukan


“Alhamdulillah, dan kita mengalu-alukan sebarang bentuk program masyarakat dilibatkan sama dengan PAS.
“Sebelum ini pun, PAS sentiasa membuat program-program dan aktiviti dengan rakyat dan masyarakat setempat. Tapi, kali ini melibatkan banyak pihak dan agensi-agensi kerajaan.
“Kita (PAS) sentiasa terbuka untuk kepentingan dan kebaikan rakyat,” ujarnya ketika menyertai program Permuafakatan Komuniti Perkep Bersama Jiranita anjuran Amanita PDRM Kontinjen Terengganu, di Balairaya Teluk Ketapang, Seberang Takir, hari ini.
Program tersebut melibatkan beberapa agensi kerajaan, polis, tentera, PGA, JKPD, J3K, PKK, KRT, SRS, MAYC, KRM, Panel Panaihat Klinik, ALP RTHD, LKPI, MPWK, PIBG, Masjid, Surau, Badan Bukan Kerajaan (NGO) termasuk parti-parti politik PAS dan Umno.


Beliau yang juga Pengarah Majlis Tindaka DUN (MTD) PAS Seberang Takir berkata, operasi khas tersebut adalah usaha semua pihak terbabit bagi menangani gejala ponteng sekolah, membongkar ‘port’ dadah dan ‘walk about methadone’ di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Seberang Takir.
Katanya, operasi bermula jam 9.30 pagi dan berakhir jam 12.30 tengahari itu turut berhasil dengan beberapa tangkapan pelajar yang ponteng sekolah, merokok serta satu kes kecurian motosikal berjaya diselesaikan.
Beliau berkata, masalah yang berlaku dalam masyarakat merupakan tanggungjawab bersama yang harus dipikul tanpa mengira fahaman politik.


“Baik kepada PAS atau Umno sebagai parti pemerintah, masalah gejala negatif yang berlaku perlu ditangani bersama, kita tidak ada masalah untuk itu,” jelasnya.
Menurutnya, selama ini pun PAS sentiasa melaksanakan ‘amar makruf dan nahi mungkar’ yang menjadi salah satu dasar serta keketapan dalam usaha PAS yang termasuk dalam perlembagaan parti.
Oleh itu, katanya PAS sentiasa terbuka untuk menyertai sebarang aktiviti yang boleh membawa kebaikan kepada rakyat dan masyarakat umum.





























