PAS Sambut Baik Hasrat MCA Mengenai Akta 355

3424

PAS menyambut baik cadangan Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan untuk duduk semeja berbincang di samping memberikan penerangan mengenai isu pindaan Akta 355 termasuk isu-isu nasional yang berlaku hari ini.

Perbincangan mengenai pindaan Akta 355 merupakan suatu langkah yang sangat penting bagi merungkai segala salah faham yang sering diseleweng oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Salah faham itu lah akhirnya menimbulkan ketakutan dikalangan bukan Islam justeru menjauhkan mereka dengan hakikat sebenar.

Maka, ruang perbincangan dua hala adalah penting bagi merungkaikan segala salah faham tersebut. Saya memandang ia sebagai suatu cadangan yang positif dan bagi pihak PAS, kami sentiasa terbuka malah mengalu-alukan mana-mana parti politik mahupun NGO untuk duduk berbincang mengenai pindaan Akta 355.

Perlu ditegaskan bahawa Akta 355 itu sendiri hanya terpakai ke atas orang Islam sahaja, justeru itu dakwaan bahawa ia menyebabkan perpecahan kaum atau ketegangan agama hanyalah suatu alasan bagi mencetuskan provokasi dan persepsi negatif terhadap usaha PAS serta melahirkan sikap penentangan terhadap Islam dan penganutnya seperti yang telah diperuntukkan dalam perlembagaan negara.

Sekiranya MCA memahami hak orang Islam dan agamanya, saya percaya bahawa MCA akan lebih mudah memahami serta menghormati usaha yang PAS laksanakan menerusi sistem demokrasi berparlimen di negara ini. PAS mengharapkan agar MCA tidak menjadi seperti DAP yang berterusan menzahirkan penentangan terhadap usaha memartabatkan Islam di Malaysia.

PAS dengan pendekatan ‘Budaya Politik Matang dan Sejahtera’ (BPMS) akan sentiasa konsisten memberikan penerangan mengenai isu ini. Malah, PAS juga tidak pernah mengkesampingkan isu-isu nasional yang lain dan pendirian PAS dinyatakan dengan jelas melalui kenyataan dan ucapan para pemimpinnya.

Saya berharap agar segala persepsi negatif dan rasa takut terhadap PAS dan perjuangan Islam dibuang terutamanya oleh bukan Islam. Anda perlu lihat dengan teliti bahawa di sana terdapat ramai dikalangan bukan Islam yang menyokong PAS. Malah, mereka juga dengan jelas turut menyokong pindaan Akta 355. Justeru, ketakutan segelintir bukan Islam itu hanyalah ibarat takutkan bayang-bayang sendiri.

PAS turut menyambut baik keterbukaan MCA untuk berkerjasama dalam isu pendidikan dan ekonomi serta yang berkaitan dengan kepentingan orang ramai di negara ini.

Sikap ini sekurang-kurangnya dapat mewujudkan peluang bagi menghasilkan inisiatif yang positif dan berdaya saing ke arah mensejahterakan rakyat dan memakmurkan negara.

Inilah Penyelesaian Kita.

Sekian

Nasrudin bin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat