PAS Rapat Dengan Masyarakat Bandar

1747

Oleh : Solahuddin Al-Idrus

KUALA TERENGGANU – PAS mempunyai hubungan yang rapat dengan masyarakat, dapat dilihat dengan kehadiran 2000 orang hadirin pelbagai lapisan mengunjungi Majlis Sambutan Aidil Fitri peringkat DUN Bandar.

Pengarahnya Ustaz Ahmed Shah Mohamad ketika dihubungi berkata, membangkitkan lagi semangat ahli dan penyokong PAS menjelang pilihan raya umum akan datang.

Beliau berpuas hati dan sukacita dengan majlis yang dihadiri oleh berbilang bangsa dan daripada pelbagai lapisan masyarakat.

“Alhamdulillah walaupun Syawal hampir menuju penghujungnya, tetapi kemeriahan rumah terbuka Aidilfitri masih hangat dirasai ”

“Kami menerima kunjungan tetamu berbilang bangsa dari pelbagai lapisan masyarakat yang tidak putus putus dari jam 10pagi sehingga berakhir jam satu petang,” ujarnya.

Menurut Ketua Penerangan PAS Kawasan Kuala Terengganu itu, program tahunan ini dilihat sangat berjaya dan dapat merapatkan hubungan terutamanya dengan orang muda.

“Kami turut menganjurkan pelbagai program berbentuk hiburan santai, futsal juga dakwah jalanan dalam masa yang sama kami menyelitkan tentang gejala sosial serta kesedaran bahaya dadah dan buruknya merempit.

“masalah sosial bukan hanya melibatkan tanggungjawab ibu bapa sahaja, tapi semua memainkan peranan dalam menangani masalah ni, dan dibandar ni kita telah berjaya membanteras isu rempit,” jelasnya.

Justeru, tegas beliau, perjuangan PAS bukan sekadar perjuangan politik sahaja tetapi juga berdakwah mengajak masyarakat kembali kepada jalan yang betul.

Sementara itu, menurut Ketua Pemuda PAS Dun Bandar, Khairuddin Mohamad, dengan pendekatan politik matang dan sejahtera yang dibudayakan PAS pada hari ini mampu mendekatkan semua golongan masyarakat kepada PAS.

Tiada lagi kebimbangan atau ketakutan dengan pelbagai ugutan yang dilakukan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) yang selama ini menjadi momokkan kepada orang kampung.

“Pelbagai lapisan masyarakat datang menjamu selera. Ketua Pemuda Umno Bandar pun hadir meraikan majlis ini, orang kampung dah tak takut dengan ugutan mana-mana pihak,” katanya.

“Dulu mereka takut sebab kalau mereka pergi program PAS, takut kena potong bantuan ini dan itu, tapi nampaknya sekarang mereka dah faham,” ujarnya ketika dihubungi.

Tambahnya lagi, kehadiran para pemuda sangat memberangsangkan dan diluar jangkaan.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ketua Pengarah Pilihanraya Pas, Datuk Haji Mustafa Ali, Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah, Ketua Pemuda Pas Kawasan Kuala Terengganu, Azrin aris dan diserikan lagi dengan kehadiran Kerabat Band yang dianggotai oleh Kamal, bekas pemain drum IKLIM serta Had, bekas pemain gitar sensasi suatu ketika dulu.