PAS Mendokong Hasrat Rakyat Untuk Turun Bersama Bersih 3.0

690

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata kepincangan dalam daftar pemilih yang disediakan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih belum dibersihkan sepenuhnya.

Menurutnya, Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) bakal tumbang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, jika tidak berlaku manipulasi dalam daftar pemilih tersebut.

Oleh itu, katanya pihak SPR perlu segera membuat pembersihan secara keseluruhan sebelum berlaku pilihan raya.

“Kita (PAS) lihat daftar pemilih SPR masih tidak bersih. Jika daftar pemilih tidak bersih, rakyat perlukan Bersih 3.0 dan kita (PAS) minta SPR buat pembersihan sebelum pilihan raya,” tegasnya di hadapan 10,000 hadirin pada Majlis Ceramah Pakatan Rakyat di Dataran PAS Batu Burok, Kuala Ibai, dekat sini, Khamis 22 Mac.

Menurutnya, kemungkinan himpunan Bersih 3.0 akan diadakan tidak dapat tolak jika pihak SPR gagal membersihkan daftar pemilih tersebut.

Mohamad berkata rakyat semakin ‘muak’ dengan kepimpinan Umno dan kerajaan Barisan Nasional yang gagal mengurus negara dengan baik.

Katanya, berbilion wang rakyat tiris serta hilang di bawah kerajaan BN yang boleh membawa negara menuju kebankrapan.

Menurutnya, pelbagai skandal dan penyelewengan berlaku yang menuntut agar rakyat perlu membuat perubahan demi menyelamatkan negara.

Justeru, beliau merayu kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama agar bersedia membuat perubahan demi negara tercinta ini.

“Saya merayu kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama. Jika nak buat perubahan, kena buat pada PRU13 (pilihan raya umum).

“Sebab itu, slogan kita Pakatan Rakyat ‘Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia’. Banyak duit negara tiris tapi rakyat masih tidak peduli,” tegasnya.

Menurutnya, rakyat perlu sepakat bagi menamatkan zaman pembaziran yang dilakukan oleh pemimpin Umno-BN pada PRU13.