Oleh KAM
KEMAMAN – Keputusan Majlis Syura Ulamak (MSU) yang mengesahkan hubungan tahaaluf siyaasi dengan Parti KeADILan Rakyat (PKR) terbatal tidak menjejaskan PAS.
Malah, kata Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan bahawa hasil kajian dibuat banyak pihak PAS masih berada diranking pertama parti yang diharapkan dapat menyelamatkan Malaysia.
“Parti kita (PAS) sekarang ini seumpama ‘gadis cantik yang diminati oleh semua orang’. Tok Guru (Dato’ Seri Abdul Hadi) sebut, ‘PAS disayangi tapi dicubit-cubit’. PAS ini disayangi, dikehendaki oleh semua orang tapi kita (PAS) dicubit-cubit.
“Ada pihak mengatakan PAS akan menghadapi zaman gelap, zaman merosot dan zaman kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, nanti. Tapi hasil dari kajian-kajian dibuat oleh banyak pihak yang mengkaji PAS masih berada diranking yang pertama parti yang diharapkan dapat menyelamatkan Malaysia ini.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Infaq Ramadan PAS Kawasan Kemaman, di sebuah Resort di Cherating, pada Khamis 11 Mei.
Menurutnya, PAS menjadi harapan rakyat bagi menyelamatkan negara ini dari pemerintahan Umno dan Barisan Nasional (BN).
Katanya, ada parti serpihan Umno sebelum ini turut berminat dengan PAS tetapi ‘digantung’ kerjasama itu kerana tidak memenuhi syarat.
Dato’ Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu mendakwa ada pihak yang cemburui PAS dengan menabur fitnah kononnya parti ini bersatu dengan Umno.


“Antara yang minat juga kepada PAS. Seolah-olah ‘melutut’ kepada PAS ialah Umno sekarang. Kita (PAS) tidak pernah menyertai program Umno tapi kita pernah menyertai program-program kerajaan Malaysia.
“Inilah antara pendekatan-pendekatan baharu yang kita ambil dalam rangka kita menjayakan kerja-kerja tarbiyyah, kerja-kerja dakwah dan kerja-kerja siasah yang kita laksanakan melalui jamaah (PAS) ini.
“Pendekatan Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) dan bukan kita ubah dasar. Kita ubah pendekatan dalam rangka menjayakan perkara yang kita hendak laksanakan sebagaimana dalam perlembagaan kita,” jelasnya dihadapan lebih 800 hadirin.




























