Menzahirkan ‘Izzah’ Dengan Tahaluf Siyasi

1559

Oleh : Dr. Ustaz Ahmad Izzudin Abu Bakar

Antara hujah paling popular membantah PAS putus hubungan dengan DAP ialah belum cukup dan tidak sabar dalam dakwah.

Lalu dibawakan sirah Nabi SAW menceritakan kemuliaan Baginda menghadapi tentangan keras golongan yang didakwahnya. Dari beberapa sudut ada betulnya. Tapi dari sudut yang lain ada kelompangannya.

Tidakkah kita membaca sirah bahawa Nabi SAW berperang dengan Quraisy selepas dua tahun sahaja berhijrah? Sepuluh tahun dakwah Makkiyyah belum turun lagi ayat ‘jihad qital’. Sebab perang ini berlaku pula ialah Nabi SAW dan para Sahabat sekadar mahu menghalang kafilah dagang Quraisy. Bukannya mahu memerangi jumlah tentera yang besar.

Kenapa Baginda SAW tidak pulang sahaja ke Madinah untuk mengelakkan pertumpahan darah dan memberi ruang kepada dakwah secara lembut?

Tidak bolehkah Nabi SAW bersabar dulu sebelum membunuh mereka dalam pertempuran?

Peperangan Badar pula bukanlah bermaksud Nabi SAW berhenti berdakwah kepada Musyrikin Mekah. Penduduk Mekah melihat kemuliaan (keizzahan) Islam. ‘Izzah’ (mulia) ini beri kesan yang besar dalam dakwah pada musyrikin Mekah dan Jazirah Arab. Menzahirkan izzah Islam pada tempat dan waktunya adalah salah satu bentuk dakwah.

Begitulah yang diharapkan daripada putusnya tahaluf siyasi PAS dengan DAP. DAP belum mati dibunuh untuk melihat dakwah jenis ini. Ini adalah salah satu bentuk dakwah PAS kepada bukan Islam di negara ini.

Untuk kita bercakap sesuatu perkara atau istilah Islam yang tertentu secara umum memang mudah. (Dato’ Seri) Najib pun boleh bercakap soal Wasatiyyah. Tidak salah apa yang Najib cakap. Tetapi praktikalnya bercanggah.

Semua orang boleh bercakap tentang Tadarruj. Tapi praktikalnya, Tadarruj di Malaysia tidak sama seperti Tadarruj di di Turki atau Tunisia. Bahkan, Indonesia yang tidak ada majlis agama dan lain-lain prasarana Islamnya tidak boleh disamakan dengan negara kita.

Dakwah atau dakwah dalam bidang politik kepada bukan Islam di Malaysia tidak boleh sama dengan cara dan suasana di negara-negara lain walaupun ada sudut-sudut yang wujud persamaan dan boleh diambil manfaat.
Sesiapa yang mahu berkerjasama dengan DAP buat masa ini, teruskanlah. Tetapi dengan hujah ini, ia tidak kukuh bagi saya.