PAS mahu menyelamatkan negara

811

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menafikan mahu jawatan Perdana Menteri sekiranya Pakatan Rakyat (PR) berjaya dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Beliau berkata, perjuangannya dalam Pas adalah untuk menyelamatkan negara dan memperkenalkan dasar negara berkebajikan.

“Pas mahu dasar berkebajikan. Perjuangan saya hanya untuk selamatkan Malaysia dengan mendahulukan perkara diterima dan dihormati masyarakat majmuk.

“Kita hanya mahu menyelamatkan negara. Sesiapa pun boleh menjadi Perdana Menteri,” katanya selepas pertemuan di kediaman rasmi menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan yang pernah dikeluarkan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang menyatakan perubahan kepimpinan Pas kini dikuasai golongan profesional menunjukkan Pas mahu berkuasa dalam parti pembangkang, sementara Abdul Hadi dipercayai mahu menjadi Perdana Menteri.

Mohamed Nazri berkata, Pas turut menukar dasar parti bagi mempertahankan perjuangan membina negara Islam, sebaliknya memperjuangkan negara berkebajikan, seperti yang pernah dilaksanakan UMNO sejak Merdeka.

Abdul Hadi, yang juga Ahli Parlimen Marang menafikan Timbalan Presiden, Mohamad Sabu sebagai liabiliti kepada Pas setelah terpilih sebagai perwakilan dalam pemilihan pada Muktamar Pas Ke-57 minggu lalu.

“UMNO menganggap Mohamad Sabu sebagai satu peluang menjatuhkan Pas, tapi bagi Pas, dia adalah senjata bagi menjatuhkan UMNO,” katanya.

Ditanya mengenai anggapan wujudnya ahli Pas yang kecewa dengan perubahan dasar perjuangan tersebut, beliau menafikan perkara itu.

“Pas mahu memulakan pelaksanaan negara berkebajikan ini adalah untuk menyelamatkan negara kerana mempunyai konsep pelaksanaan halal dan haram,” katanya-SH