PAS Kuala Terengganu Gesa Tubuh Badan Penyiasat

1265
http://buletinonline.net/images/stories/aberita21/wan%20sukairi.png

Mesyuarat Khas PAS Kawasan Kuala Terengganu yang berlangsung pada hari ini Sabtu 9 Ogos 2014 jam 10.30 malam sebulat suara membuat ketetapan seperti berikut :

1. MENYOKONG PENUH PRESIDEN PAS

Merujuk kepada beberapa isu kebelakangan ini, khususnya isu pertukaran MB Selangor YAB Tan Seri Khalid Ibrahim yang hangat diperdebatkan sehingga melahirkan perasaan kurang senang kepada masyarakat umum lebih-lebih lagi bagi rakyat negeri Selangor Darul Ehsan, maka PAS Kawasan Kuala Terengganu melihat dan bersetuju dengan pendirian yang dinyatakan oleh YB Dato Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Hj Awang (Presiden PAS) dan kemudiannya disokong oleh YB Tuan Guru Dato Bentara Setia Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat (Mursyidul Am PAS) bagi mengekalkan YAB Tan Seri Khalid Ibrahim sebagai MB Selangor Darul Ehsan. Dan kami melihat pendirian inilah yang sepatutnya perlu diambil oleh semua kepimpinan Pas di setiap peringkat. Ini kerana, DSTG Presiden adalah pemimpin yang selayaknya mengutarakan pendirian tersebut berdasarkan ketokohan dan kedudukan beliau sebagai pemimpin utama PAS secara khusus dan Pakatan Rakyat secara umumnya.

Sekali lagi ditegaskan bahawa PAS Kawasan Kuala Terengganu dengan ini menyatakan sokongan padu dan berdiri teguh terhadap pendirian YB Dato Seri Tuan Guru Presiden PAS dan YB Tuan Guru Dato Bentara Setia Mursyidul Am PAS.

2. MENUBUHKAN BADAN PENYIASAT

PAS Kawasan Kuala Terengganu melihat kebelakangan ini banyak rahsia dan perbincangan dalam mesyuarat AJK PAS Pusat bocor ke pengetahuan umum terutama rakan Pakatan Rakyat, blogger, facebooker dan terutamanya musuh politik. Yang terkini peristiwa pembocoran printscreen perbincangan group whatsapp AJK PAS Pusat kepada umum sehingga mengakibatkan berantakan di antara satu sama lain dalam AJK PAS Pusat dan juga parti dalam Pakatan Rakyat. Maka PAS Kawasan Kuala Terengganu mendesak agar PAS Pusat dapat menubuhkan Badan Penyiasat untuk menyiasat siapakah pelaku yang bertindak membocorkan printscreen tersebut, seterusnya mengambil tindakan disiplin sewajarnya ke atas pelaku bagi memberi pengajaran kepada semua pimpinan dan ahli betapa perlunya kita menjaga rahsia Jemaah agar ianya tidak berulang lagi pada masa hadapan.

PAS Kawasan Kuala Terengganu berpendapat tindakan ini perlu diambil dengan segera oleh PAS Pusat bagi membersihkan nama baik PAS sebagai Jemaah Islam dimata masyarakat umum dan Parti-Parti dalam Pakatan Rakyat.

3. DESAKAN DIKENAKAN TINDAKAN DISIPLIN

PAS Kawasan Kuala Terengganu sangat kecewa dan kesal dengan tindakan segelintir pimpinan PAS Pusat yang mengambil sikap merendah dan memperlekehkan kredibiliti DSTG Presiden PAS di khalayak umum. PAS Kawasan Kuala Terengganu melihat ini rentetan sifat al-Wala dan rasa hormat terhadap kepimpinan tertinggi PAS berkurangan dan terhakis dari jiwa segelintir pimpinan yang membarisi kepimpinan peringkat pusat. Lebih parah lagi, thiqah (kepercayaan) sepenuhnya diberikan kepada pemimpin luar dari PAS.

Terbaru melalui Forum : Krisis Selangor Pakatan Berpecah? pada 5 Ogos 2014 di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor lebih menyerlahkan sikap segelintir pimpinan PAS yang dimaksudkan. Penampilan YB Hanipa Maidin di atas tiket PAS sebagai salah seorang panelis dan mengambil sikap merendahkan DSTG Presiden PAS amat menikam jiwa seluruh penyokong PAS di semua peringkat. PAS Kawasan Kuala Terengganu begitu terkejut dengan kenyataan sedemikian rupa lahir dari barisan kepimpinan PAS Pusat. Cukup mengejutkan, dalam pentas terbuka DSTG Presiden PAS dihentam oleh salah seorang AJK PAS Pusat dan disambut dengan tepukan serta sorakan oleh hadirin.

PAS Kawasan Kuala Terengganu mendesak PAS Pusat melalui Jawatankuasa Disiplin Parti agar dapat memanggil dan mengenakan satu tindakan sewajarnya ke atas YB Hanipa Maidin di atas tindakan beliau merendah-rendah serta mengkritik DSTG Presiden PAS secara terbuka dalam majlis tersebut di atas, diharap semoga ianya menjadi pengajaran kepada pimpinan disemua peringkat dan ahli PAS seluruhnya.

Sekian, Wassalam

“ RAHMAT UNTUK SEMUA ”

Yang benar,

WAN SUKAIRI BIN WAN ABDULLAH
Yang Di-Pertua PAS Kawasan Kuala Terengganu

Sabtu 13 Syawal 1435 / 9 Ogos 2014