KUALA TERENGGANU – PAS Kuala Terengganu kesal kerana ada pihak yang telah menceroboh dan membakar kawasan tanah perkuburan lama yang terletak di kampung Paya Bunga, belakang Wisma Darul Iman,pusat pentadbiran kerajaan negeri Terengganu.
Yang DiPertuanya Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata beberapa batu nesan dan pagar kubur berkenaan telah rosak terbakat.
“Kami mengesan sebuah kawasan kubur lama yang terletak betul betul di belakang Wisma Darul Iman yang terdapat kesan-kesan pembakaran pokok-pokok dan rumput,
“yang menyebabkan terdapat batu nesan dan pagar-pagar kecil kubur yang terbakar dan hangus,”ujarnya selepas melawat kawasan terbabit semalam, Rabu 9 Mac.
Beliau bersama Ketua Penerangannya Haji Ahmad Amzad Hashim, bergegas ke kawasan tersebut apabila diberitahu oleh orang ramai.
Katanya, beliau sedang melakukan penyiasatan dan meminta orang ramai yang meihat kejadian agar tampil ke hadapan.
“Kami difahamkan bahawa perkara ini dilakukan oleh pihak pihak tertentu untuk tujuan yang belum diketahui,”kata beliau.
Justeru itu, beliau berharap pihak berkuasa ugama agar menyiasat dan mengambil tidakan yang sewajarnya.
Wan Sukairi yang juga Penolong Setiausaha PAS Terengganu menasihati, mana-mana pihak yang mahu melaksanakan apa-apa tindakan samada membangunkan atau apa sahaja usaha, harusah menghormati tanah perkuburan itu.
“Sekiranya pihak tertentu ingin melakukan apa saja pembangunan maka sepatutnya mereka menghormati kawasan perkuburan yang terdapat di situ.
“Tidak sepatutnya kawasan perkuburan itu dilakukan sedemikian rupa. Semoga pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dan Pejabat Hal Ehwal Agama dapat membuat siasatan pihak mana yang bertanggongjawab melakukan perkara tersebut,”tambah beliau.









