KUALA TERENGGANU – PAS Terengganu melahirkan rasa kecewa dan dukacitanya apabila kerajaan negeri Terengganu di bawah kepimpinan Menteri Besarnya, Encik Ahmad Razif Abd Rahman menafikan kawasan telaga minyak PM307 Bertam itu milik Terengganu.
Pesuruhjayanya, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata berdasarkan kenyataan bekas Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said bahawa telaga minyak Bertam itu milik negeri ini.
Bahkan, katanya pengakuan hak milik PM307 Bertam itu kepunyaan Terengganu dibuat oleh pemimpin kerajaan ketika itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.


“PAS negeri Terengganu rasa dukacita dengan apa yang diumumkan oleh Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd Rahman berkait dengan isu telaga minyak PM307 Bertam yang seolah-olah bukan milik kerajaan negeri.
“Kita rasa cukup kecewa sebab berdasarkan kenyataan bekas Menteri Besar lalu, Dato’ Seri Ahmad Said dengan secara jelas dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu termasuk media menyebut bahawa PM307 Bertam itu berada di perairan hampir dengan Terengganu.
“Sampai hari ini isu Bertam 307 itu masih tidak dapat diselesaikan,” ujarnya ketika bercakap pada sidang media di pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT), Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu, ada Khamis 18 Ogod.
Beliau turut mendesak agar Menteri Besar itu berani mempertegaskan hak milik Bertam kerana melibatkan kedaulatan negeri ini.


Ustaz Satiful Bahri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka juga mempersoalkan kenapa bayaran hasil minyak dan gas di Sabah dan Sarawak dinamakan royalti tetapi Terengganu sebagai ‘wang ehsan’.
Malah, katanya kedua-dua negeri itu dengan tegas mahukan agar hak royalti tersebut dinaikan kepada 20 peratus oleh kerajaan persekutuan.
“Terakhir ini, Sarawak tetap komited dan diputuskan dalam sidang Dun Sarawak untuk menuntut 20 peratus daripada royalti minyak.
“Kenapa Sabah dan Sarawak dibayar royalti, kenapa disebut ‘ehsan’ (dana khas) di Terengganu dan kita (PAS) cukup kecewa dengan kerajaan negeri menarik balik saman (terhadap Petronas dan kerajaan Persekutuan) yang telah dibuat ketika pemerintahan kerajaan PAS Terengganu untuk mengetahui status sebenar yang melibatkan royalti,” jelasnya.
Menteru Besar Terengganu, Encik Ahmad Razif Abd Rahman dalam satu kenyataan kepada media bahawa telaga minyak Bertam itu hak kerajaan Persekutuan dan Petronas.


“Cuma, saya telah membuat permohonan rasmi kepada Perdana Menteri (Dato Seri Najib) untuk buat pertimbangan agar digunakan balik asas kepada komitmen yang dibuat sebelum ini.
“Saya telah memohon tetapi belum lagi dapat keputusan daripada beliau,” ujarnya pada sidang media selepas merasmikan Hari Koperasi Negara 2016 Peringkat Negeri Terengganu, di Pusat Dagangan Terengganu, 4 Ogos lalu.
Bahkan, katanya tiada berlaku sebarang penyerahan kepada kerajaan Pahang atau isu cagaran sebagaimana dakwaan sesetengah pihak.
“Dalam hal ini, tiada tandatangan, tiada surat menyurat, yang kita sedia ada pun bukan diistiharkan milik Terengganu kerana telah melebihi tiga batu nautika, itu milik persekutuan,” tegasnya.
https://youtu.be/DOZVYbFgJ8g





























