Oleh : Azizah Mahmood
KUALA TERENGGANU – PAS dengan rakyat berpisah tiada, saling bantu-membantu dan saling memerlukan dalam membina kekuatan sebuah masyarakat berteraskan ukhuwah Islamiyah.
Antara teras keteguhan komuniti adalah sikap prihatian dan ambil berat serta cakna dalam kehidupan seharian.
Di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam, muafakat antara PAS dan rakyat terus diperkukuhkan dengan aktiviti ‘gotong royong’.
Selaku pemimpin yang dipilih rakyat, Haji Mohd Abdul Wahid Endut turun ke lapangan memberikan khidmat dan membantu menyelesaikan masalah rakyat.
Beliau bersama-sama masyarakat setempat di Kampung Gelugor Raja membantu warga emas Che Ku Esah Che Ku Ahmad, 74, menggantikan ruangan dapur yang telah usang.
“Kerja gotong royong merobohkan rumah tidak selalu berlaku, bila di maklumkan saya terpanggil untuk turut serta membantu bersama orang Kampung, mudah mudahan ianya akan mendekatkan kita dengan masyarakat,”ujarnya.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu (MAIDAM) yang melaksanakan tanggungjawab mengagihkan bantuan, memberikan pertolongan kepada mereka yang memerlukan seperti Mak Cik Che Ku Esah.
Katanya, selaku pihak yang dipertanggungjawabkan oleh rakyat, apatah lagi dari sudut agama, badan-badan dan agensi kerajaan perlu pro-aktif dalam memberikan khidmat kepada rakyat tanpa sebarang prejudis.
Haji Wahid ditemani oleh isterinya Puan Wan Fatimah dan Ketua Kebajikan DUN Wakaf Mempelam Haji Mansur Ab Rahman.
Mak Cik Che Ku Esah ketika ditemui sempat menzahirkan perasaan syukurnya kepada Allah dan berterima kasih kepada pihak PAS yang membantunya.
“saya ucap syukur kepada Allah dan saya rasa sangat-sangat berterima kasih pada semua orang PAS yang bantu saya hari ini terutama Hj Wahid dengan isterinya yang datang ke pondok buruk saya dan bantu saya,”katanya dalam nada terharu.
Seramai 13 orang sukarelawan termasuk anggota unit Amal DUN Wakaf Mempelam berganding bahu, bersama-sama bermandi peluh, seawal jam 9 pagi dan bersambung hingga ke waktu petang.









