PAS Chukai Ikrar Pertahan Kemenangan

690

KEMAMAN – Keazaman dan tekad PAS di Dewan Undangan Negeri (Dun) Chukai terbukti apabila berjaya mengumpulkan lebih 300 orang petugas parti di semua peringkat cawangannya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chukai, Hanafiah Mat berkata kejayaan Majlis Tindakan Dun (MTD) Chukai mengumpul jentera partinya petanda kesungguhan bagi mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, akan datang.

IMG_20151016_172034Katanya, tanpa kerjasama yang erat di peringkat cawangan dan Dun sudah pasti sukar mempertahankan kemenangan tersebut.

“Saya bersyukur kerana mempunyai hubungan baik yang sangat erat dengan semua petugas parti di semua peringkat cawangan dan MTD.

“Di Dun Chukai ini kita (PAS) ada 13 Unit Peti Undi (UPU) dan 20 cawangan PAS untuk menghadapi PRU14 akan datang. Inilah petugas (jentera) saya,” ujarnya ketika ditemui selepas majlis Liqa Fikri PAS Dun Chukai, di Lagoona Resort, Cherating, Rabu 14 Oktober.

Antara pimpinan parti yang mengisi program liqa tersebut Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Nasaruddin Hassan Tantawi, Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu, Ustaz Ariffin Deraman.

Beliau yang juga Pengarah MTD Chukai menyifatkan kehadiran lebih 300 petugas partinya di peringkat cawangan dan Dun amat membanggakan.

nasruddin hassanJusteru, katanya semua petugas parti berikrar akan bekerja dengan bersungguh bagi mempertahankan kemenangan PAS pada PRU14.

Menurut Hanafiah, isu kemelut serpihan PAS hingga tertubuh Parti Amanah Negara (PAN) dan terputusnya kerjasama dengan DAP tidak membimbangkan.

“Masalah serpihan PAS hingga ada (tubuh) parti PAN (Parti Amanah Negara) dan DAP memutuskan kerjasama dengan kita (PAS) tidak membimbangkan sangat dan terkawal.

“Di Dun Chukai, hubungan peribadi saya dengan masyarakat dan pengundi Tionghua cukup baik dan masih bersama saya, Insya’Allah,” tegasnya.

Katanya, tidak semua pengundi Cina itu memusuhi PAS kecuali segelintir pemimpin dan penyokong DAP.

Beliau cukup yakin dan optimis bahawa Dun Chukai masih dapat dipertahankan kemenangan pada pilihan raya akan datang.