PAS Bersama Perpaduan Ikatan Tali Allah, Bukan Tali Ciptaan Manusia

138

Menjawab seruan perpaduan agung yang menjadi slogan terkini, maka inilah jawapan PAS.

Banyak teori perpaduan yang telah dikemukakan oleh para ilmuwan dunia. Ada teori yang berasaskan kaum, agama, sempadan negara, kepentingan ekonomi, keselamatan dan lain-lain secara berasingan. Semuanya tidak bersifat holistik, memenuhi kehidupan manusia yang berbeza dengan makhluk yang lain, gagal mengikut kenyataan ilmu kemasyarakatan dan kenyataan sejarah. Malah, gagal mengikut ketetapan Allah Penciptanya.

Adapun Islam pula melihat hanya ada dua pendekatan sahaja dalam konsep perpaduan umat manusia mengikut ketetapan Allah. Hendaklah dipilih antara dua, sama ada perpaduan yang diwajibkan atau perpaduan yang diharamkan.

Perpaduan yang diwajibkan dalam Islam adalah mengikut konsep ketetapan Allah yang telah terbukti berjaya dalam catatan sejarahnya. Hal ini berasaskan firman-Nya:

…وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ ٢

“…Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran sempadan. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya.” [Surah al-Ma’idah: 2]

Secara kesimpulannya, hanya terdapat dua pendekatan sahaja ke arah perpaduan, sama ada bersama dalam tolong-menolong menegakkan taqwa kepada Allah dan berkebajikan dalam segala lapangan atau tolong-menolong dalam perkara dosa dan menceroboh yang membawa permusuhan.

Kepercayaan kepada Allah Yang Maha Penyayang kepada seluruh makhluk-Nya, bahawa semua ketetapan-Nya adalah membawa kebaikan dan menolak kebinasaan. Kebajikan yang meluas dalam hubungan manusia dengan Penciptanya dan juga hubungan manusia yang bersendirian, berkeluarga dan bermasyarakat, serta peranan mereka terhadap makhluk yang lain.

Maka, Allah menetapkan dasarnya dengan berfirman:

وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعٗا وَلَا تَفَرَّقُواْۚ وَٱذۡكُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَآءٗ فَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦٓ إِخۡوَٰنٗا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةٖ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡهَاۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَهۡتَدُونَ ١٠٣

“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah akan ni‘mat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliah) saling bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana ni‘mat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang Neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.” [Surah Ali ‘Imran: 103]

Berpegang teguhlah dengan tali Allah, Pencipta alam yang berbeza dengan tali ciptaan manusia yang gagal mengikat manusia dalam tajuk perpaduan. Tali Allah yang mengikat manusia melalui gabungan sifat fitrahnya yang tidak boleh dicapai oleh ciptaan akal manusia.

Berpegang teguhlah dengan tali Allah melalui cara sentiasa berhubung dengan-Nya. Talinya ialah Islam, agama Allah yang menentukan ketaqwaan dan kebajikan.

Islam telah berjaya menangani keadaan masyarakat Arab yang paling berpecah, bermusuhan dan berperang antara satu sama lain. Satu bangsa yang paling ganas dalam kehidupannya, malah lebih liar daripada binatang yang tidak berakal kerana kejahatannya yang menyalahgunakan akal.

Dihuraikan maksud ikatan tali Allah oleh firman-Nya:

…فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا ٥٩

“…Kemudian, jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” [Surah al-Nisa’: 59]

Demikianlah dua rujukan tertinggi dalam Islam yang menentukan segala penyelesaian.

Rasulullah SAW melaksanakan secara amali perintah Allah melalui perpaduan Islam yang bermula dengan bangsa Arab yang mendukungnya sehingga berkuasa, setelah mereka menganut Islam dan berjaya disatukan melalui hubungan iman. Kemudiannya, diikuti perpaduan masyarakat majmuk yang melibatkan masyarakat Islam dengan kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem melalui hubungan kemanusiaan, apabila mereka menerima perjanjian dalam Sahifah Madinah:

وَإِنَّهُ مَا كَانَ بَيْنَ أَهْلِ هَذِهِ الصَّحِيفَةِ مِنْ حَدَثٍ أَوِ اشْتِجَارٍ يُخَافُ فَسَادُهُ، ‌فَإِنَّ ‌مَرَدَّهُ ‌إِلَى ‌اللَّهِ وَإِلَى مُحَمَّدٍ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَإِنَّ اللَّهَ عَلَى أَتْقَى مَا فِي هَذِهِ الصَّحِيفَةِ وَأَبَرِّهِ.

“Dan bahawa sesungguhnya apa-apa perkara yang berlaku dalam kalangan mereka yang terlibat dalam pemeteraian piagam ini seperti timbulnya masalah dan pertelingkahan sehingga perkara itu boleh merosakkannya, maka hendaklah ia diselesaikan dengan kembali (merujuk) kepada Allah (al-Quran) dan Nabi Muhammad SAW (Sunnah). Dan meletakkan Allah pada kedudukan yang tertinggi, orang yang paling bertaqwa kepada-Nya dan terbaik dalam piagam ini.” [Ibn Hisham, al-Sirah al-Nabawiyyah, jld. 1, hlm. 504]

Alasannya bahawa manusia yang hidup berakal tidak boleh diikat dengan sesuatu paksaan seperti menyatukan kayu, batu yang jumud dan binatang yang tidak berakal.

Pendekatan Islam berkonsepkan tiada paksaan dengan mengakui hak masing-masing dalam beragama, berbangsa, berbudaya dan juga berkonsepkan adil kepada semua. Semuanya berada dalam Islam, tidak kepada yang selain daripadanya.

PAS tidak boleh menerima konsep perpaduan, khasnya yang membisu terhadap kezaliman dan dosa yang diharamkan oleh Allah yang menjadi sebab berlakunya perpecahan.

Maka, dibawa konsep perpaduan Islam mengikut ketetapan Allah. Inilah alasan PAS tidak bersama Kerajaan Perpaduan yang berkonsepkan bebas tanpa sempadan ketetapan Allah yang telah direalisasikan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) melibatkan kumpulan yang menganut fahaman pluralisme, liberalisme, termasuk kumpulan ekstrem serta syaitan bisu terhadap kemungkaran dan lain-lain.

Perpaduan sedemikian yang tidak boleh menyelesaikan perpecahan dalam setiap parti komponennya sendiri, apatah lagi dalam gabungannya yang lebih besar dan kini sedang runtuh memakan diri sendiri. Keadaan ini laksana bersama para penumpang dalam sebuah bahtera yang sedang parah kebocorannya walaupun diberi jenama perpaduan agung, laksana kapal induk yang besar tetapi semakin membesar kebocorannya.

Apa yang berlaku laksana bahtera yang telah disifatkan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya:

مَثَلُ القَائِمِ عَلَى حُدُودِ اللَّهِ وَالوَاقِعِ فِيهَا، كَمَثَلِ قَوْمٍ اسْتَهَمُوا عَلَى سَفِينَةٍ، فَأَصَابَ بَعْضُهُمْ أَعْلاَهَا وَبَعْضُهُمْ أَسْفَلَهَا، فَكَانَ الَّذِينَ فِي أَسْفَلِهَا إِذَا اسْتَقَوْا مِنَ الْمَاءِ مَرُّوا عَلَى مَنْ فَوْقَهُمْ، فَقَالُوا: “لَوْ أَنَّا خَرَقْنَا فِي نَصِيبِنَا خَرْقًا وَلَمْ نُؤْذِ مَنْ فَوْقَنَا”، فَإِنْ يَتْرُكُوهُمْ وَمَا أَرَادُوا هَلَكُوا جَمِيعًا، وَإِنْ أَخَذُوا عَلَى أَيْدِيهِمْ نَجَوْا، وَنَجَوْا جَمِيعًا.

“Bandingan kalangan mereka yang beristiqamah dalam lingkungan sempadan Allah dan mereka yang jatuh terkeluar daripadanya, laksana satu kumpulan (kaum) yang menumpang di dalam sebuah kapal. Sebahagian daripada mereka berada di atas dan sebahagian lagi berada di bawah. Apabila mereka yang berada di bawah memerlukan air, maka mereka perlu mendapatkannya melalui mereka yang berada di atas. Lalu ada daripada kalangan mereka ingin mengambil tindakan mudah dengan berkata, ‘‘Bagaimana jika kita tebuk sahaja kapal ini (untuk dapatkan air dengan segera) tanpa peduli terhadap mereka yang berada di atas kerana tidak mahu mengganggu mereka.’ Kalau dibiarkan kalangan mereka itu bertindak (menebuk kapal), nescaya semuanya akan binasa ditenggelamkan. Jika ada yang bertindak menghalangnya, maka semuanya akan selamat.” [Hadis riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Syarikat, no. 2493, daripada al-Nu‘man bin Basyir]

Kita tidak boleh menaiki bahtera yang tidak boleh mengawal para penumpangnya yang bertelingkah dalam mempertahankan kepentingan masing-masing dan mempunyai hala tuju yang berbeza tanpa meraikan pihak yang berbeza atas nama tidak mahu berpecah belah. Nakhodanya pula tidak beristiqamah dalam menghadapi gelombang yang datang dari arah timur dan barat, dan memandu sehingga melanggar batu karang yang memecahkan bahteranya semata-mata kerana ingin meraikan perbezaan yang merosakkan atas nama perpaduan.

Rasulullah SAW menolak tawaran memimpin semua pihak tanpa sempadan betul dan salah mengikut Islam, dan jahiliah wawasannya yang pendek bersifat sementara waktu. Akan tetapi, Baginda memilih perpaduan berprinsip yang betul dan konsep yang terkawal, walaupun terdapat perbezaan dan pertelingkahan, ada sempadannya yang menerima perkara yang benar dan menolak perkara yang salah.

Bukannya hanyut mengikuti segala tuntutan penumpang yang berlawanan hala tuju tanpa sempadan yang mengawalnya, maka diraikan semua pihak supaya perjalanannya selamat dan aman berwawasan pendek untuk sementara waktu.

Perpaduan umat Islam yang berkuasa menegakkan konsep adil kepada semua dan menegakkan kebajikan kepada semua yang dipimpin oleh kumpulan Islam yang bertaqwa. Perkara ini berpandukan firman Allah SWT:

وَجَعَلۡنَا مِنۡهُمۡ أَئِمَّةٗ يَهۡدُونَ بِأَمۡرِنَا لَمَّا صَبَرُواْۖ وَكَانُواْ بِـَٔايَـٰتِنَا يُوقِنُونَ ٢٤

“Dan Kami jadikan antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memimpin dengan perintah Kami, setelah mereka berjuang dengan sabar (melakukan perubahan). Dan adalah mereka meyakini ayat-ayat Kami.” [Surah al-Sajdah: 24]

Maka, kita mengambil teladan daripada Rasulullah SAW dengan bertonggak kepada perpaduan Melayu Islam yang berkuasa dan perpaduan kemanusiaan masyarakat majmuk yang menerima kepimpinan Islam.

Segala perbincangan hendaklah datang daripada kalangan ilmuwan yang bertafaqquh dalam urusan Islam, bukan melalui orang yang jahil.

Tidak juga melalui ilmuwan yang tidak bertafaqquh atau yang meletakkan akalnya ke dalam perutnya, kerana penyelesaian Islam itu bersifat ilmu serta ciri-ciri keilmuan yang luas dan akal yang dimuliakan, berpandukan nas yang tidak berubah dan nas yang boleh menangani perubahan dalam kejadian alam termasuk manusia, serta dasar umum.

Kita mahukan perpaduan yang berpayungkan kerajaan yang menunaikan kewajipan memimpin yang merupakan amanah besar daripada Allah, dan ditaati kerana menghormati keadilannya. Bukan pemimpin yang menjadikan kuasanya kerana harta dan takhta yang dimuliakan, dan mereka dihormati kerana takut akan kezalimannya.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 29 Rajab 1447 / 19 Januari 2026

[Bil: 6 / 2026]