Oleh : Rohayati Ripin
SETIU – PAS telah berjaya meningkatkan undi dalam Pilihanraya kecil (PRK) Port Dickson dan menambah pengaruh, walaupun tidak memenanginya.
Ketua Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Pusat Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia sesuatu yang tidak mengejutkan dan berpuas hati dengan proses demokrasi yang ada.
“PRK Port Dickson …. semua dah tahu keputusan ianya tidak mengejutkan sebenarnya keputusan yang ada adalah proses demokrasi yang ada siapa yang dapat undi banyak dialah yang menang,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas Majlis Penyampaian hadiah Kejohanan Kuda Lasak di Terengganu International Endurance Park (TIEP) pada hari ini, 14 Oktober.
Dr Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Negeri Terengganu berkata, peningkatan undi yang diperolehi oleh calon PAS Leftenan Kolonel (B) Mohd. Nazari Mokhtar adalah lebih baik.
“Itu satu keadaan yang sangat positif dalam keadaan kita berdepan dengan PRK yang mana kita lihat semua jentera daripada PH dan menteri turun dan sebagainya dalam kengkangan yang sedemikian,
“Kita dapat lihat bagaimana undi yang diterima oleh PAS itu masih tetap utuh,” jelasnya.
Katanya, ia menunjukkan bahawa dalam apapun perkara yang yang berlaku diluar sana tetapi PAS masih ada pengundi teras tersendiri.
Pada pilihan raya kecil Port Dickson calon PAS mendapat 7,456 berbanding calon PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meraih 31,016 undi.
Sementara itu lima calon bebas Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad mendapat 4,230 undi, Mohd. Saiful Bukhari Azlan 82, Stevie Chan Ken Leong 337, Kan Chee Yuen 154 dan Lau Seck Yan 214 undi.





























