PAS Alu-Alukan Langkah kerajaan Persekutuan Laksana Manifestonya

1312

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA NERUS – Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) mengalu-alukan langkah kerajaan persekutuan memperuntukkan kewangan untuk program penjagaan kanak-kanak dan kesihatan wanita, sebagaimana yang telah di tawarkan dalam Manifesto PAS pada pilihan raya Umum lalu.

Bendaharinya Dr Che Faridah Ismail berkata, beliau menyokong penuh usaha pihak kerajaan pusat menyediakan belanjawan RM10 juta untuk menambah 50 pusat penjagaan kanak-kanak di bangunan kerajaan yang diumumkan dalam pembentangan bajet 2019 semalam.

Beliau juga menyifatkan peruntukan RM20 juta untuk penjagaan kesihatan wanita bagi meneruskan pemeriksaan mamogram percuma untuk saringan payudara, vaksinasi HPV dan pap smear di hospital kerajaan dan klinik, sebagai sangat wajar.

“(ianya) adalah (satu) langkah ke hadapan untuk mengenal pasti (dan mengiktiraf) sumbangan wanita kepada tenaga kerja.

“(Dan) adalah selari serta salah satu tawaran wanita sejahtera manifesto PAS dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Himpunan Mujahidah 5.0 di KOMTAQ di sini pada Sabtu, 3 November.

Sehubungan itu, beliau berkata, muslimat PAS amat mengambil berat dan amat prihatin terhadap penjagaan kanak-kanak sesuai dengan dasar Islam yang didokong parti itu.

“Malah kami pun telah ada produk berkaitan iaitu TASTI,untuk umur tiga bulan hingga empat tahun yang sedang mengembangkan sayapnya di beberapa buah negeri.

“(Dan) Kerajaan Terengganu seperti termaktub dalam manifesto PRU14 juga sedang berusaha mengadakan pusat jagaan kanak-kanak di pejabat kerajaan,jadi ianya bukan satu perkara baru namun usaha yang baik itu amatlah dialu-alukan,” tegasnya.

Justeru dalam manifesto PAS,kata beliau, tawaran wanita sejahtera mengandungi lapan perkara dan salah satunya ialah baucer kesihatan bernilai RM300 untuk saringan kesihatan bagi wanita kumpulan sasaran.

“Jadi bajet 2019 selari dengan apa yang kita cadangkan. Kesimpulannya, ianya bukan perkara baru,” tambah beliau.