PAS Agih Limau Sempena ‘Gong Xi Fa Cai’

2016

Oleh KAM

KUALA TERENGGANU – PAS melalui Lajnah Perpaduan Nasionalnya telah mengagihkan buah limau mandarin sempena ‘Gong Xi Fa Cai’ khususnya kepada warga Tionghua di sekitar bandar Kuala Terengganu.

Aktiviti tahunan itu dimulakan seawal jam 7.30 pagi dan berakhir jam 10.00 pagi di Pasar Pagi Kampung Tiong, Kampung Cina, dekat sini, hari ini.

Sehubungan itu, Pengerusi Majlis Tindakan Dun (MTD) Bandar, Ustaz Ahmad Shah Mohammad berkata sambutan warga Tionghua cukup baik dan mesra dengan PAS.

Beliau cukup yakin bahawa hubungan politik antara masyarakat Cina dengan PAS tidak ‘jauh’ sebagaimana yang dipolemikkan itu.

“Kita harap program yang kita (PAS) buat ini sedikit sebanyak boleh mendatangkan hubungan silaturrahim baik sesama masyarakat Bandar khususnya orang Cina dengan orang Melayu dan lebih lagi antara PAS dengan masyarakat non-muslim.

“Kita dapati sambutannya cukup baik dan mesra. Kita yakin mereka (Tionghua) tidak ‘jauh’ dengan parti kita iaitu PAS,” ujarnya ketika ditemui Harakah di lokasi program Agihan Limau Sempena Tahun Baharu Cina, di Kampung Tiong, Kuala Terengganu.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut, Adun Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar, Yang Dipertua PAS (YDP) Kuala Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah, Timbalan Ketua Muslimat PAS Kuala Terengganu, Hajah Wan Fatimah Wan Abdullah dan Ketua Lajnah Perpaduan Nasional Muslimat PAS Kuala Terengganu, Zulaida Idris.

Menurutnya, program agihan limau itu turut melibatkan empat kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) iaitu Dun Bandar, Dun Wakaf Mempelam, Dun Ladang dan Dun Batu Burok di Kuala Terengganu.